Tukang paip rugi lebih RM100,000

Spread the love

SIBU, 3 Jan: Hasrat seorang tukang paip di sini untuk mendapat keuntungan berganda selepas menyertai satu skim pelaburan tidak kesampaian, malah menanggung kerugian lebih RM100,000.

Episod malang mangsa berusia dalam lingkungan 50-an terbabit bermula apabila dia tertarik dengan satu tawaran pakej pelaburan dari sebuah syarikat  di laman media sosial pada pertengahan Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menerima satu laporan polis mengenai kes itu pada Isnin.

“Pengadu menyatakan bahawa dia telah diperdayakan oleh sebuah syarikat pelaburan dalam talian selepas berurusan melalui aplikasi whatsapp sejak pertengahan Disember lalu.

“Pengadu telah bersetuju membuat pelaburan selepas tertarik dengan tawaran pakej-pakej pulangan pelaburan dan dijanjikan keuntungan sebanyak 50 peratus daripada jumlah pelaburan'” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM106,300 ke dalam 10 akaun bank yang diberi suspek menerusi 28 transaksi sejak 19 Disember 2021 hingga 4 Julai 2022.

Malah, katanya, setiap pembayaran dilakukan, mangsa telah diberitahu mengenai keuntungan dan pulangan harga pasaran.

“Mangsa juga dijanjikan keuntungan pelaburan sebanyak RM800,000 pada September 2022 namun sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pulangan dan keuntungan seperti yang dijanjikan oleh suspek,” katanya lagi.

Menurutnya, pengadu menyertai pelaburan tersebut kerana ingin melangsaikan pinjaman keretanya dan sumber kewangan pelaburan tersebut diperoleh daripada wang simpanan, pinjaman daripada rakan-rakan serta ahli keluarga.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Sekysen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sebagai langkah pencegahan, Zulkipli menasihatkan agar orang ramai membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada pusat respons scam kebangsaan (nsrc) di talian 997 atau ccid scam response center di talian 03- 26101559 / 03-26101599 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

Semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui juga boleh dibuat melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.