Lelaki berpistol samun enam kedai serbaneka sebulan sebelum dicekup

Spread the love

GEORGE TOWN, 3 Jan: Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes samun bersenjata api membabitkan kedai serbaneka di negeri ini selepas menahan dua suspek di Bukit Mertajam dekat sini tengah malam Ahad lalu.

Lelaki warga tempatan berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan secara berasingan di tepi jalan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai kira-kira pukul 12 tengah malam selepas polis melakukan risikan dan mengekori suspek.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, pihaknya menemui sepucuk pistol jenis Revolver 38 bersama dua kelongsong dengan tiga butir peluru ketika penahanan dibuat.

“Kita tidak pasti sama ada mereka mahu lakukan apa-apa (samun) pada malam itu.

“Kemungkinan ya (mahu menyamun) kerana kita jumpa senjata bersama salah seorang suspek, tapi kita tidak dapat pastikan (mengenainya),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, penahanan suspek dibuat oleh satu pasukan siasatan khas yang ditubuhkan selepas polis menerima laporan kes samun membabitkan senjata api di sebuah kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam pada 9 Disember lalu.

“Suspek disyaki menyasarkan kedai-kedai serbaneka yang beroperasi hingga lewat malam dengan melarikan hasil jualan dan telefon bimbit.

“Dengan penahanan mereka, kita percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes samun bersenjata api dalam tempoh sebulan sepanjang Disember lalu,” katanya lagi.

Ujar beliau, selain pistol dan peluru, pihaknya turut merampas dua buah motosikal iaitu jenis Yamaha 125Z dan SYM, kereta jenis Proton Iswara, topi keledar dan beberapa barangan lain.

Kedua-dua suspek yang memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu direman selama enam hari sehingga Jumaat depan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.