Warga emas hilang ketika cari asam paya ditemui selamat

Spread the love

MUKAH, 2 Jan: Seorang lelaki warga emas yang hilang ketika mencari buah asam paya di kebun berhampiran Jalan Mukah-Balingian sejak pagi semalam ditemui selamat hari ini.

Sahminan Mohtar berusia 81 tahun disedari tidak pulang ke rumahnya di Kampung Tutus Hilir, Mukah sejak jam 6 petang semalam.

Sahminan yang agak kepenatan diusung keluar dari hutan sebelum dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan. Foto: IPD Mukah

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, Sahminan ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan selamat di lokasi kira-kira 1.5 kilometer dari pusat kawalan tempat kejadian pada jam 1.30 tengah hari.

“Pengadu yang juga anak mangsa hilang memberitahu ayahnya telah keluar mencari buah asam paya di kebun sejak jam 9 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, SAR telah diaktifkan pada jam 10.30 pagi.

“Semasa pencarian pasukan SAR telah menjumpai tompokan asam paya dipercayai milik Sahminan yang ditinggalkan di tepi laluan pencarian yang kemudian menjurus kepada penemuannya kira-kira 1.5 kilometer dari pusat kawalan pada jam 1.30 tengah hari,” katanya.

Menurut Rizal, Sharminan kemudian dihantar ke Hospital Mukah untuk rawatan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.