‘Kaki sabung’ lari bertempiaran, dua ditahan dalam serbuan polis

Spread the love

JULAU, 2 Jan: Hasrat dua lelaki ‘mencari’ duit tahun baharu tidak membuahkan hasil apabila mereka ditahan di gelanggang sabung ayam haram di sebuah kawasan lapang ladang kelapa sawit di Jalan Ulu Pendanum, Pakan dekat sini pada Ahad.

Dalam satu serbuan ‘Op Dadu’ pada jam 2.30 petang itu, sekumpulan lelaki bertempiaran melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden (DSP) Andam Sulin berkata, dua lelaki terbabit berusia 52 dan 64 tahun tidak sempat melarikan diri.

“Kehadiran pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Julau dan Balai Polis Pakan di lokasi serbuan telah menyebabkan sekumpulan lelaki bertempiaran lari masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, polis turut merampas lima ekor ayam hidup, seekor ayam mati, satu unit alat penimbang, satu papan putih tertulis jadual pertaruhan, sebilah taji dan sejumlah wang tunai.

Tangkapan dan rampasan tersebut disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah akan dihukum di bawah Seksyen 5(3) Ordinan yang sama yang boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda RM500.

Tangkapan tersebut adalah yang kedua dalam tempoh dua hari di Pakan.

Andam sekali lagi menegaskan polis tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang didapati menjalankan kegiatan perjudian sabung ayam haram di kawasan Julau dan Pakan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.