BE Sarawak peroleh 100 acara perniagaan bernilai RM359 juta

Spread the love

KUCHING, 2 Jan: Industri acara perniagaan Sarawak mengakhiri 2022 dengan cemerlang apabila memperoleh 100 acara perniagaan untuk tahun ini dan seterusnya, melebihi sasaran awal sebanyak 90 dengan kadar pencapaian 111 peratus.

Business Events Sarawak (BE Sarawak) menjelaskan 100 acara perniagaan itu dianggarkan bernilai RM359 juta dari segi jumlah kesan ekonomi, dengan perbelanjaan langsung delegasi akan mencakupi kira-kira RM195 juta dan hasil cukai berjumlah RM21.5 juta.

“Acara ini dijangka membuka kira-kira 28,496 peluang pekerjaan baharu kepada komuniti tempatan yang menjadi destinasi acara itu,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

Ia menambah, bagi 2022, sebanyak 93 acara perniagaan tempatan, nasional dan antarabangsa berjaya dianjurkan dengan nilai keseluruhan impak ekonomi sebanyak RM216.3 juta.

“Perbelanjaan langsung perwakilan menyumbang pendapatan berjumlah RM117.6 juta, hasil cukai pula sebanyak RM13 juta, selain membuka sekurang-kurangnya 17,169 pekerjaan,” jelasnya.

BE Sarawak ditubuhkan oleh kerajaan Sarawak pada 2006 sebagai badan bukan bermotifkan keuntungan untuk mempromosikan negeri ini sebagai destinasi kompetitif bagi penganjuran mesyuarat perniagaan nasional dan antarabangsa, di samping membantu pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan badan kerajaan menganjurkan acara mereka dengan jayanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.