JULAU, 1 Jan: Empat lelaki warga emas ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pertaruhan sabung ayam di sebuah kawasan lapang di sini pada Sabtu.
Dalam serbuan pada jam 2.14 petang itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Julau dan Balai Polis Pakan telah berjaya menahan empat suspek berusia dalam lingkungan 70-an dalam Ops Dadu (Judi) yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan (DSP) Andam Sulin berkata, sewaktu serbuan dijalankan, semua suspek tidak menyedari kehadiran pasukan polis ke kawasan tersebut.
“Kehadiran mengejut polis telah menyebabkan sekumpulan lelaki lari bertempiaran di lokasi kejadian, namun empat lelaki warga emas tidak sempat lari dan diberkas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil daripada serbuan itu, pihak polis berjaya merampas lima ekor ayam jantan hidup, satu unit alat penimbang, satu keping kotak bertulis jadual pertaruhan, sebilah taji dan sejumlah wang tunai.
Katanya, tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Sekysen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962.
Jelasnya lanjut, kesemua suspek boleh dihukum di bawah Sekysen 5(3) Ordinan yang sama yang memperuntukKan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM500.
Andam berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana- mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam terutama di kawasan Julau dan Pakan.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah julau diminta tampil kepada pihak polis yang berdekatan atau menghubungi talian 084-734216. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.