Anggota Bomba menjalankan kerja-kerja 'overhaul' untuk memastikan kebakaran itu padam sepenuhnya di tempat kejadian. Foto: BBP Lopeng.

Rumah tanpa penghuni di Kpg Sealine, Lutong ranap terbakar

ByTVS

MIRI, 1 Jan: Sebuah rumah tanpa penghuni musnah terbakar di Kampung Sealine, Lutong dekat sini tengahari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB), Mohd Hamdani Madon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.01 tengahari berhubung kejadian.

Katanya, rumah jenis tidak kekal setingkat berkeluasan 30 kali 40 kaki persegi itu telah terbakar 100 peratus yang juga difahamkan disewa oleh pemilik asal kepada pekerja kontraktor.

“Maklumat pemilik atau penyewa rumah gagal diperoleh kerana tiada orang berada di rumah ketika kejadian dan kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kehilangan jiwa.” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Menurutnya, pasukan Bomba Petronas M Court yang berada berhampiran lokasi kejadian telah bertindak awal membantu memadamkan api sehingga padam.

“Dua pasukan bomba dari BBP Lutong dan BBP Lopeng yang tiba kemudian mengambil alih operasi telah bertindak membentang satu aliran salur bantu mula bagi memastikan api benar-benar padam sepenuhnya,” jelasnya.

Mohd Hamdani berkata, operasi pemadaman tersebut melibatkan 13 anggota iaitu sembilan anggota dari BBP Lopeng dan empat anggota dari BBP Lutong.

“Operasi tersebut itu, ditamatkan pada jam 12.45 tengahari setelah pasukan pemadam memastikan keadaan sekeliling selamat dan tiada kemungkinan api akan menyala semula,” katanya.

Agensi lain yang turut terlibat dalam operasi itu termasuk lima anggota polis, dua daripada Sesco, enam pekerja M Court dan 15 pekerja DCT. – TVS

Berita Berkaitan