PTPTN salur sumbangan zakat kepada 17,800 pelajar asnaf sepanjang 2022

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan sumbangan zakat kepada 17,800 pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih sepanjang tahun ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Pengerusi PTPTN Dr Apli Yusoff berkata sumbangan zakat berkenaan disalur menerusi program Kembara Keluarga Simpan SSPN 2022 yang bertujuan membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi mereka.

“Program ini merupakan salah satu daripada program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) PTPTN dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Apli berkata PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara dengan melaksanakan pelbagai insentif dan inisiatif program berimpak tinggi yang bersepadu bagi membantu para pelajar dan masyarakat.

Selain program ini, katanya PTPTN turut menyediakan program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin dan setakat ini sebanyak RM142,000 bantuan sara hidup telah disalurkan kepada 284 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) kurang berkemampuan di seluruh negara.

Secara keseluruhan, menurutnya sehingga 30 Nov lepas, PTPTN telah membantu seramai 3.77 juta pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dengan jumlah pinjaman sebanyak RM68.22 bilion.

“PTPTN turut membantu pelajar membuat persediaan awal untuk mendaftar masuk ke IPTA dan Politeknik melalui pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman. Sejak 1999 hingga November lepas, seramai 960,882 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.42 bilion,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Apli berkata PTPTN telah menyusun beberapa inisiatif yang lebih berimpak tinggi sebagai lanjutan kepada usaha PTPTN membantu masyarakat terutama berkaitan pendidikan, antaranya  dengan meneroka kaedah alternatif sebagai sumber pembiayaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Comment

  1. thanks alot of information keren

Leave a Reply

Your email address will not be published.