Piala AFF: Harimau Malaya mesti mengaum berdepan Singapura – Lee Tuck

Spread the love

PETALING JAYA, 1 Jan: Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck menyeru rakan sepasukan dalam Harimau Malaya supaya lebih agresif ketika berhadapan Singapura dalam aksi Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Selasa ini.

Tuck percaya rakan sepasukannya berupaya menembusi benteng pertahanan Singapura dan menjaringkan gol biarpun pasukan lawan memilih untuk menggunakan taktik bertahan sepenuhnya.

“Saya fikir taktik perlawanan itu nanti adalah sama iaitu bertahan kerana mereka hanya perlu seri untuk mendapatkan satu mata.  Jadi kami perlu mencari kaedah untuk memecahkan benteng mereka.

Ia bukannya mudah, tetapi seperti yang saya kata sebelum ini, saya rasa kami mempunyai kualiti dan kami telah mempamerkan keupayaan untuk menjaringkan gol di dalam kejohanan ini. Kami perlu memenangi perlawanan ini,” katanya kepada wartawan ketika ditemui pada sesi latihan di sini pada Sabtu.

Singapura kini mempunyai sedikit kelebihan untuk mara ke separuh akhir kejohanan ini selepas seri tanpa jaringan dengan Vietnam dalam perlawanan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin, penyerang tengah baharu Kedah Darul Aman FC itu masih yakin tiada tekanan untuk skuad negara dalam menghadapi pasukan negara jiran itu.

Bahkan, Tuck optimis bahawa mereka akan dapat menjayakan misi kali ini dan melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan.

“Setiap pemain nampak relaks sekarang, kami yakin dengan apa yang kami mampu lakukan dan kami menantikan perlawanan itu kerana kami yakin kami memiliki apa yang sepatutnya kami ada untuk melangkah ke separuh akhir,” katanya.

Keputusan seri malam kelmarin membolehkan Singapura mengumpul tujuh mata merampas tempat kedua Kumpulan B daripada Malaysia yang jatuh ke tempat ketiga dengan enam mata sementara Vietnam mempunyai kelebihan jaringan kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan tujuh mata.

Myanmar yang akan bertandang ke Stadium My Dinh di Hanoi untuk bertemu Vietnam pada Selasa ini, kekal di tangga keempat kumpulan dengan satu mata sementara Laos mengakhiri kempen mereka di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas diturunkan hanya sekali dalam barisan permulaan perlawanan menentang Vietnam Selasa lepas, pemain berusia 34 tahun itu inginkan beliau diletakkan dalam kesebelasan utama sekali lagi ketika menentang Skuad Singa itu.

“Sudah tentu anda mahu bermain dalam sebanyak minit yang mungkin, jadi saya gemar bermula di awal perlawanan tetapi kadang-kadang elok juga bangun dari bangku simpanan dan melakukan perubahan,” katanya.

Mengulas mengenai perpindahannya daripada Sri Pahang ke Kedah, pemain kelahiran Huddersfield itu berkata beliau tidak menyesal meninggalkan kelab itu dan berharap semoga mereka semua akan beroleh kejayaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.