Sarawak perkasa pengkomersialan garam bukit

Spread the love

KUCHING, 31 Dis: Meneliti potensi pengkomersialan garam bukit yang dikeluarkan oleh penduduk di beberapa buah kampung di Lawas telah menarik minat kerajaan Sarawak dalam memperkasakan lagi pengeluaran produk berkenaan.

Sebagai usaha meningkatkan lagi taraf ekonomi penduduk di luar bandar melalui produk berasaskan alam semula jadi, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menyediakan pelbagai program dan projek untuk membantu komuniti terlibat.

Usaha tersebut dicetuskan ekoran produk Sarawak itu diyakini setanding dengan produk antarabangsa iaitu Garam Himalaya.

Garam bukit. Foto: Awang Azmil (TVS)

Dalam laporan siri kedua ini, TVS berjaya mendapatkan maklumat terkini berkenaan produk garam bukit menerusi temu bual bersama Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad.

Menurut Hamden, berdasarkan kajian pihaknya sumber mata air garam setakat ini telah dikesan di dua kawasan iaitu Bario dan Ba’Kelalan.

Jelasnya biarpun terdapat banyak kampung di Ba’Kelalan yang mengusahakan produk serupa namun pada masa ini pihaknya menumpukan perhatian kepada kampung-kampung yang mengeluarkan garam bukit dengan permintaan tinggi.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Merungkai khasiat asli garam bukitNaik taraf infrastruktur di Lawas, angkat nilai komersial garam bukit
  2. 2. Naik taraf infrastruktur di Lawas, angkat nilai komersial garam bukit

“Projek ini merupakan projek pertama kami. Kita melihat dari segi keberkesanan projek ini dan keduanya dari segi penerimaan masyarakat,

“Tidak guna sekiranya kita membuat fasiliti yang banyak seterusnya melibatkan peruntukan yang agak besar dari kerajaan tetapi akhirnya tidak digunakan dan ini akan menjadi suatu bentuk pembaziran,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan pembangunan fasiliti ke tempat-tempat lain sekiranya ia berupaya mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Setakat ini JHS telah membina fasiliti lengkap di kampung Buduk Bui sahaja dan pihak kami masih memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa,

“Insya-Allah kami juga akan meneliti pembinaan fasiliti sama di kampung Pa Komap dan Punang Kelalan sekiranya ada keperluan,” jelasnya lagi.

Tambahnya tujuan penambahbaikan fasaliti sedia ada itu dibuat bersesuaian dengan permintaan pelancong asing yang sering berkunjung ke kampung-kampung terbabit bagi melihat sendiri penghasilan produk berkenaan.

“Dari segi kandungan mineral garam bukit ini dengan garam Himalaya, kandungan bahan-bahannya adalah lebih kurang sama seperti iodin, magnesium, kalsium, fosforus dan zink,

“Cuma ia mungkin berbeza dari segi lokaliti dan juga punca air. Tapi dari segi keberadaan semua mineral itu ada dan sama yang sememangnya baik untuk kesihatan manusia,” ujarnya.

Garam bukit. Foto: Awang Azmil (TVS)

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa JHS akan terus memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan projek dan program yang dilaksanakan mampu memberi impak kepada masyarakat.

Ia termasuk usaha mengkomersialkan produk garam bukit seperti mengeluarkan hasil garam yang bersih, bungkusan yang menarik serta melibatkan komuniti-komuniti berkaitan dalam program jabatan seperti ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) .

Ke arah itu jelasnya menjelang 2023, JHS merancang untuk membawa komuniti di sana menyertai program menanam pokok cepat tumbuh, seperti pokok jenis Akasia.

Ketika ditanya mengenai kesesuaian kayu yang akan dibakar bakal mempengaruhi kualiti garam bukit, beliau berkata itu tidak benar sama sekali.

“Mana-mana pokok kayu boleh digunakan untuk dibakar dan memasak mata air garam ini. Kita sebenarnya melihat dari segi masa untuk pokok ini tumbuh.

Kita memerlukan dalam kuantiti yang banyak jadi kalau kita nak menanam pokok-pokok jenis asli, seperti pokok tempatan jenis kapur, meranti dan sebagainya, ia akan mengambil masa yang lama mungkin sekitar 40, 50 tahun, tapi kalau Akasia mungkin dalam 4 atau 5 tahun sudah boleh tumbuh dengan cepat dan besar kemudiannya boleh ditebang serta kayu-kayu ini boleh digunakan untuk tujuan pembakaran,” jelasnya lagi.

Pada laporan siri pertama sebelum ini, TVS menerbitkan artikel menemu bual pembekal utama garam bukit mengenai kuantiti pengeluaran yang dapat dihasilkan penduduk dan menjawab kepada situasi tersebut Hamden berkata dengan adanya bahan bakar yang mencukupi produk garam bukit akan mampu dihasilkan dalam kuantiti yang banyak.

Katanya lagi, sekarang penduduk sudah tidak mempunyai masalah dari segi bekalan mata air garam.

Jika dahulu katanya, mereka mempunyai masalah bekalan tersebut kerana telaga air yang mereka miliki membekalkan kuantiti yang terhad, yang mampu habis dalam masa satu hingga dua hari sekiranya digunakan secara berterusan.

“Mata air garam yang keluar mengalir kecil sahaja dan akan mengambil masa yang lama untuk memenuhi satu telaga.

“Namun dengan fasiliti yang sudah disediakan termasuk tong-tong air serta air yang mengalir 24 jam akan disalur masuk terus ke dalam tong-tong tersebut. Sebanyak enam tong diberikan dan saya percaya mereka tidak lagi akan menghadapi masalah dari segi mendapatkan bekalan mata air garam yang mencukupi dan pemprosesan garam bukit boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Menurut Hamden, 1000 liter mata air garam mampu menghasilkan sehingga 40 kilogram garam bukit.

Dengan adanya usahasama antara agensi kerajaan dalam mengangkat produk garam bukit Sarawak, kata Hamden tidak mustahil suatu hari nanti Bario, Ba’Kelalan dan khususnya Lawas akan lebih dikenali di mata dunia sebagai pengeluar garam bukit dunia. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.