Enam bulan hidup mewah jadi tokan dadah, penganggur diberkas

Spread the love

SIBU, 31 Dis: Gaya hidup mewah serta memiliki kereta mahal seorang remaja lelaki merungkai kepada kegiatan pengedaran dadah dijalankannya sejak enam bulan lalu.

Penganggur berusia 25 tahun terbabit ditahan bersama dadah bernilai RM35,400 oleh sepasukan polis narkotik dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu-pejabat Polis Daerah Sibu di Lorong Wong King Hou pada jam 6.45 petang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya yang bertindak atas maklumat telah menahan suspek ketika memandu kereta jenis Toyota Camry di lokasi kejadian.

“Lelaki tempatan itu ditahan oleh sepasukan polis Narkotik IPD Sibu berhampiran sebuah hotel di jalan Wong King Huo semalam.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menemukan lima paket lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis Ketamine dengan anggaran berat 235 gram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, suspek bersama rampasan dadah bernilai RM35,400 kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Merah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya lagi ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Ketamine dan Benzo.

‘Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama,” katanya lanjut.

Menurut Zulkipli, suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.