DUBS diminta tingkat fasiliti logistik Uptown Kota Samarahan

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 31 Dis: Program Ambang 2023 di Uptown Kota Samarahan yang meriah namun acara anjuran Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) itu disarankan untuk meningkatkan fasaliti sedia ada.

Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an berkata bagi memudahkan peniaga dan orang ramai datang berkunjung ke program tersebut, beliau berharap pihak DUBS menyediakan beberapa fasaliti.

“Kalau dapat wujudkan tempat solat dan tempat berniaga yang berbumbung seperti di pasar malam Miri agar peniaga dan pengunjung yang datang tidak basah sekiranya cuaca hujan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Ambang 2023 di Uptown Kota Samarahan semalam.

Menurutnya, program dua hari iaitu bermula 30 Disember dan akan berakhir hari ini, 31 Disember itu wajar ditambah baik dari segi logistik setempat.

“Saya berharap pihak DUBS dapat memajukan lagi Uptown dari segi kelengkapan dan logistiknya dengan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang mengenainya,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Anuar ketika berucap turut menyampaikan pesanan daripada Rubiah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, bahawa pihaknya berjanji untuk komited memajukan usahawan di seluruh Kota Samarahan.

“Beliau (Rubiah) mengucapkan terima kasih khususnya kepada usahawan kerana memberikan sokongan yang padu kepada beliau semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Insya-Allah dengan tugas dan jawatan baharu, beliau akan dapat membantu seluruh usahawan di Kota Samarahan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Program Ambang 2023 bertemakan ‘Malam Retro Jiwa Kental Beb’ menyaksikan orang ramai hadir dengan berpakaian retro, dendangan lagu retro dan terdapat juga beberapa buah motosikal vespa di Uptown Kota Samarahan menghiasi suasana.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti iaitu pertandingan karaoke, pertandingan fesyen kanak-kanak dan cabutan bertuah selain terdapat pelbagai gerai jualan makanan, minuman dan pakaian. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.