COVID-19: MATA gesa kerajaan tangguh kemasukan pelancong China ke Malaysia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian COVID-19 di negara itu reda.

Presiden MATA Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata lonjakan ketara kes COVID-19 di China baru-baru ini meningkatkan lagi potensi varian baharu yang bakal muncul sekali gus memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.

“Kita semua sedia maklum hospital di seluruh China telah dibelenggu oleh letupan kes COVID-19 berikutan keputusan Beijing untuk menarik balik peraturan ketat mereka.

“Trauma yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan akibat COVID-19 masih belum selesai malah banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat COVID-19 dengan kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun yang lalu,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Industri pelancongan bersiap sedia terima pelancong dari China
  2. 2. Trafik udara dijangka meningkat pada 2023 susulan pembukaan semula sempadan China – Anthony Loke
  3. 3. Jepun bakal wajibkan ujian saringan COVID-19 untuk ketibaan dari China

Justeru, beliau berharap perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan pemain industri pelancongan amat terkesan sebelum ini dan masih dalam proses pemulihan.

Mohd Khalid juga berkata banyak negara telah memperketat kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus COVID-19.

Beliau turut menasihati pemain industri pelancongan Malaysia agar mengalihkan perniagaan mereka kepada pelancong dari Timur Tengah dan Eropah tanpa bergantung kepada China buat masa ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China.

China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.