Cadangan pembinaan lima balai bomba baharu di Sarawak tunggu kelulusan

Spread the love

KUCHING, 30 Dis: Cadangan pembinaan lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu di Sarawak masih menunggu kelulusan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata lima balai berkenaan dicadangkan untuk dibina di Batu Kawa, Lubok Antu, Julau, Dalat dan Sungai Asap.

Semua lima balai yang dicadangkan itu merupakan balai kategori D yang akan mempunyai 26 anggota bomba.

“Kita memang ada perancangan untuk menambah balai. Dari segi National Average Response Time (NART), kita menunjukkan prestasi yang semakin baik. Itu akan seiring dengan pembinaan balai baharu,” katanya pada Majlis Apresiasi Tahun 2022 JBPM Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Tambahnya, pihak bomba akan melihat keberkesanan program bomba sukarela dan bomba komuniti dari segi tahap kecepatan mereka memberi respon terhadap bencana sebagai antara faktor untuk membina balai bomba baharu.

“Sebab itu kalau kita lihat, bukan sahaja kebakaran, contohnya kalau kes banjir, kalau kita hendak menghantar 1,539 anggota daripada 38 balai di seluruh Sarawak ini, tidak boleh. Mustahil,” tegasnya.

Setakat ini, sebanyak 38 BBP di seluruh Sarawak termasuk Balai Bomba Asajaya yang akan mula beroperasi tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Khirudin turut memaklumkan bahawa sepanjang 2022, JBPM Negeri Sarawak telah menerima 9,875 panggilan kecemasan yang meliputi kebakaran, penyelamatan, tugas-tugas khas dan sedikit panggilan palsu.

“Angka itu menurun sebanyak 30 peratus berbanding tahun lepas, yang mencatatkan 14,053 panggilan,” jelasnya.

Bagaimanapun tambah beliau, jumlah kematian merekodkan peningkatan pada tahun ini, justeru beliau berkata langkah pencegahan dan keselamatan kebakaran bukan tanggungjawab bomba semata-mata, namun orang awam juga perlu memainkan peranan masing-masing.

“Kita juga mewujudkan masyarakat yang boleh bertindak, membantu orang lain apabila berlaku kecemasan.

“Bukannya kita ambil telefon bimbit dan menjadi wartawan tidak bertauliah. Tujuan mereka baik, hendak melaporkan insiden tetapi apabila mereka tidak mematuhi etika kewartawanan, perkara sensitif juga dikongsikan kepada umum.

“Contohnya, pendarahan, luka dan sebagainya. Mungkin dia rasa seronok tetapi bagaimana pula perasaan mangsa, keluarga dan waris mangsa,” soalnya.

Dalam pada itu, sijil penghargaan turut diberikan kepada para wartawan bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam membantu JBPM membuat laporan berita yang sahih dan tepat.

Antara agensi yang menerima sijil penghargaan itu ialah wartawan daripada TVS, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.