PKS Sarawak kurang peka manfaat 5G, IR4.0

Spread the love

KUCHING, 29 Dis: Pemain industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini disifatkan masih kurang peka terhadap manfaat pelaksanaan teknologi 5G dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) untuk memantapkan produk mereka.

Menurut Timbalan Ketua Saintis & Timbalan Ketua Penasihat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Professor Dr Al-Khalid Othman, jumlah program nilai kesedaran yang dilaksanakan di Sarawak amat kecil iaitu sebanyak 29 PKS sahaja berbanding jumlah keseluruhan iaitu 1,056 PKS.

Sementara kemudahan sokongan kewangan dana intervensi IR 4.0 katanya hanya terdapat satu daripada 154 permohonan PKS di Sarawak berjumlah RM0.35 juta, berbanding Selangor yang mempunyai kelulusan sebanyak 64 PKS berjumlah RM22.6 juta.

“Sarawak mempunyai 1,689 sektor industri termasuk sektor pembuatan, perlombongan dan kuari manakala usahawan ataupun pengusaha perniagaan Sarawak adalah sebanyak 60,773 iaitu 6.7 peratus daripada jumlah keseluruhan dan juga merupakan yang tertinggi di Malaysia,

“Daripada penilaian yang dibuat transformasi digital di bawah dasar kerajaan pusat menyaksikan bahawa Sarawak masih tidak peka ataupun dapat memanfaatkan sistem sokongan keperluan transformasi IR 4.0 di peringkat kerajaan besar,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, perlu ada inisiatif bagi melonjakkan Sarawak ke arah IR 4.0 yang memerlukan usaha yang berterusan daripada semua pihak yang terlibat.

Sarawak perlu menilai ataupun menambahbaik dasar IR 4.0 pusat mengikut kehendak dan keperluan pihak industri PKS tempatan serta mempertingkatkan keterlibatan dan kebersamaan pihak industri dalam transformasi IR 4.0.

Tegasnya pelaksanaan dasar berkenaan terhadap produk yang dihasilkan mampu memberi nilai tambah yang tinggi dan seterusnya akan menjadi pemacu utama ekonomi negara.

Selain itu, jelasnya dasar IR 4.0 yang disokong di peringkat kerajaan pusat ini bertujuan untuk mentransformasikan sektor pembuatan dan perkhidmatan seiring dengan usaha gerak negara bagi menguasai IR 4.0 teknologi digital dan pengukuhan mekanisme bagi melonjakkan produktiviti.

Beliau turut melihat aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan perlu melalui tadbir urus yang baik termasuk penilaian kesedaran serta peranan pihak kerajaan untuk menyediakan dana intervensi kepada industri yang mendokong dasar sedia ada.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk program nilai kesedaran dan dana intervensi manakala untuk Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan akan menyalurkan sebanyak RM45 juta kepada dasar ini bagi terus memberi manfaat kepada PKS dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian bersama TVS hari ini.

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.