Lelaki kurang siuman disyaki ceroboh kubur, ditahan

Spread the love

SIBU, 29 Dis: Polis di sini berjaya merungkai kes ceroboh dan khianat Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim pada 24 Disember lalu dengan tertangkapnya seorang lelaki kurang siuman pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zukipli Suhaili berkata, suspek berusia 49 tahun terbabit telah ditahan di tepi Jalan Channel sekitar jam 1.00 petang itu.

“Susulan itu, suspek terbabit yang mempunyai sejarah pesakit mental telah dirujuk ke wad psikiatri Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Sekysen 297 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan lanjut.

Pada 24 Disember lalu, sebanyak 11 buah kubur di tanah perkuburan Islam terletak di Lorong Hose, Jalan Tun Abang Haji Openg telah diceroboh dan dirosakkan.

Insiden itu telah menjurus kepada satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 39 tahun di Balai Polis Sentral Sibu meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Difahamkan, suspek pernah ditahan oleh Polis kerana melakukan jenayah yang sama di tanah perkuburan tersebut pada 15 Ogos lalu.

Sementara itu, Zulkipli menasihatkan masyarakat di sini agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.