Lampu tambahan tingkat keselamatan pengguna jalan Bintangor-Sarikei

Spread the love

BINTANGOR, 29 Dis: Usaha mempertingkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya menghubungkan Bintangor dan Sarikei diteruskan melalui projek pembinaan lampu jalan tambahan dari Sungai Buloh hingga Jambatan Sungai Selidap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek bernilai lebih RM200,000 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, tahun depan.

“Ini adalah kesinambungan projek tahun lepas, akan bersambung dari rumah William Staun ke Jambatan Sungai Selidap, jadi harap-harap projek diteruskan, saya akan cuba dapatkan projek lain supaya kita boleh sambung terus ke Jambatan Sungai Nyelong.

“RM200,000 (nilai projek) dan projek itu akan siap sebelum Tahun Baru Cina,” katanya ketika ditemui media di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pembinaan 75 tiang lampu itu merupakan sebahagian kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk manfaat rakyat khususnya pengguna yang sering melalui laluan berkenaan setiap hari.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM500,000 untuk kerja pemasangan lampu bagi mengelak kemalangan di kawasan berisiko khususnya selekoh tajam jalan Bintangor Sarikei.

Melalui peruntukan itu sebanyak 115 unit lampu dipasang bermula dari Kampung Rancak hingga ke Jambatan Merah Bintangor. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.