Kerani rugi lebih RM1 juta ditipu Macau Scam

Spread the love

GEORGE TOWN, 29 Dis: Seorang kerani wanita di sini berputih mata menanggung kerugian lebih RM1 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar petugas Pejabat Pos dan Pegawai Polis, baru-baru ini.

Mangsa berusia 49 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam penipuan berkenaan selepas menerima panggilan daripada seorang individu kononnya petugas di syarikat Pos Malaysia memaklumkan terdapat bungkusan atas nama mangsa yang mengandungi kad pengenalan.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, selepas menakutkan mangsa, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dirinya pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Sabah dan Bukit Aman.

Kata beliau, mangsa dimaklumkan oleh ‘polis’ berkenan bahawa dia terlibat dalam satu sindiket pengubahan wang haram sehingga menyebabkan mangsa takut.

“Wanita itu kemudiannya diarahkan untuk memasukkan wang ke dalam 13 akaun dan dia berbuat demikian menerusi beberapa transaksi.

“Mangsa telah memindahkan wang lebih RM1.026 juta sebelum menyedari dia sebenarnya ditipu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam perkembangan berbeza, Fisol berkata, dua guru wanita berusia 47 dan 41 di sini masing-masing dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM439,000 dan RM203,200 dipercayai turut menjadi mangsa Macau Scam minggu lalu.

“Guru berusia 47 tahun itu telah menerima panggilan ‘scammer’ kononnya dari pihak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Ipoh, Perak berhubung pemasangan meter TNB.

“Manakala seorang lagi guru diperdaya suspek menyamar pihak Pos Malaysia dan Pegawai Polis,” katanya lagi.

Beliau berkata pihak polis melakukan siasatan terhadap kes-kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.