Program Gunting Rambut Percuma DUN Semop mendapat sambutan menggalakkan

Spread the love

KUCHING, 28 Dis: Program Gunting Rambut Percuma di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menyasarkan kira-kira 200 murid sekolah rendah dan tadika.

Anjuran bersama antara Pusat Khidmat ADUN N42 Semop, Saberkas Cawangan Semop dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ia diadakan di 17 lokasi selama tiga hari.

Di Mupong, Bekakong, Sedo, Serdeng, Sedi dan Sebako ia diadakan pada hari ini manakala di Kelai, Semop, Saai, Kut, Penuai dan Penibong pada 29 Disember serta di Salah, Penipah, Tekajong, Bruit dan Betanak pada 30 Disember.

Tukang gunting terdiri daripada Mohamad Padil, Hazahar Busman, Osman Suhaili dan Mohammad Arif Sahari.

Ketika diminta mengulas mengenainya, Ahli DUN Semop Datuk Abdullah Saidol berkata program ini diadakan sempena pembukaan semula sekolah pada minggu hadapan.

“Matlamat inisiatif ini adalah untuk serba-sedikit membantu ibu bapa dalam persediaan anak-anak mereka untuk pembukaan sekolah pada minggu hadapan,” ujarnya.

Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) percaya cuaca tidak menentu selama hampir dua bulan telah menjejaskan pendapatan masyarakat pedalaman di kebanyakan tempat terutama sekali petani dan nelayan. 

“Keadaan begini sudah tentu sedikit sebanyak menyukarkan keluarga yang berpendapatan rendah untuk berbelanja bagi menyediakan pelbagai persediaan untuk anak-anak mereka menghadapi musim persekolahan,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua PIBG yang bekerjasama dalam program gunting rambut percuma dengan harapan ia dapat diadakan sebagai program tahunan anjuran warga belia dalam kawasannya.

Dengan wujudnya portfolio dalam kabinet Persekutuan baharu yang memberi fokus dan memantau kos sara hidup, beliau berharap menteri berkenaan termasuk Menteri Pendidikan dapat memberi perhatian dan tindakan segera membantu menyediakan skim bantuan khas untuk keluarga terjejas. 

Menurutnya, bantuan ini mampu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah untuk pembelian pakaian seragam atau perkakas persekolahan. 

“Skim bantuan ini boleh disalurkan melalui sekolah dalam bentuk baucar dengan nilai yang termampu oleh kerajaan,” ujarnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.