Penduduk terjejas tanah runtuh terpaksa lupakan sambutan Krismas

Spread the love

SERIAN, 28 Dis: Tujuh keluarga yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Koran Mawang di sini baru-baru ini terpaksa melupakan hasrat meraikan Krismas dan Tahun Baharu 2023.

Walaupun tiada insiden buruk berlaku, rumah mereka rosak dan berbahaya untuk didiami.

Ketua Kaum Koran Mawang, Mathew Ringus berkata kejadian tanah runtuh itu berlaku pada 12.14 tengah hari pada 23 Disember, ketika para penduduk kampung sedang berkumpul di ruang tamu rumah masing-masing.

Beliau yang ditemui TVS di sini, hari ini menyifatkan bunyi yang nyaring itu mengejutkan seluruh penduduk kampung dan menyebabkan mereka meninggalkan rumah serta-merta.

Matthew juga berkata kampung itu pernah berhadapan dua kes tanah runtuh sebelum ini dan kejadian terbaharu mungkin berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak beberapa hari sebelumnya.

Beberapa penghuni rumah berhampiran tanah turut diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Koran Mayang sebagai langkah berjaga-jaga.

Semua 57 orang penduduk yang terjejas dibenarkan tinggal di rumah saudara masing-masing, hari ini.

“Pusat pemindahan sementara ditutup hari ini. Mereka akan tinggal di rumah saudara-mara dan belum dapat balik ke rumah sendiri kerana rumah mereka belum selamat digunakan,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.