Kes tular: Lelaki hayun pisau di tempat awam dicekup

Spread the love

SIBU, 28 Dis: Tindakan agresif seorang lelaki menunggang motosikal sambil menghayun sebilah pisau dan mengancam keselamatan orang awam di Jalan Pulau semalam membawa padah apabila dia berjaya ditangkap pada malam Selasa.

Visual viral memaparkan suspek menunggang motosikal sambil menghayun pisau ke arah orang awam di Jalan Pulau petang semalam. Foto: JSJ IPD Sibu

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia dalam lingkungan 42 tahun tersebut ditahan susulan satu rakaman video berdurasi 16 saat yang memaparkan aksi agresif suspek berkenaan dikesan pada jam 5 petang semalam.

“Tindakan suspek didapati mengugat keselamatan dan ketenteraman orang awam dan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu telah berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi Jalan Bukit Assek sekitar jam 9 malam hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Polis turut merampas sebilah pisau dan sebuah motosikal daripada suspek.

Menurutnya, semakan rekod polis juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sentral untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya,” tambah beliau. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.