Semakan cukai tanah kali ketiga berkuat kuasa 1 Januari 2023

Spread the love

KUCHING, 28 Dis: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) mengumumkan semakan cukai tanah kali ketiga yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Menurut kenyataannya hari ini, JTS memaklumkan semakan cukai ini tidak melibatkan tanah yang telah dimansuhkan cukai pada tahun 2016 iaitu tanah kegunaan pertanian berkeluasan kurang dari 100 ekar dan tanah kegunaan kediaman.

Katanya, kadar cukai tanah baharu adalah seperti bagi kegunaan rumah kedai (shophouse) dari RM0.22 hingga RM1.62 semeter persegi, bagi kegunaan komersial selain dari rumah kedai (shophouse) dan bagi kegunaan pelabuhan, perlombongan serta mineral dan galian adalah dari RM0.20 hingga RM1.46 semeter persegi dan bagi kegunaan industri dari RM0.09 hingga RM0.43 semeter persegi.

Selain itu, ia juga bagi kegunaan pejabat dan pembangunan bercampur dari RM0.05 hingga RM0.23 semeter persegi, bagi kegunaan rekreasi dari RM0.03 hingga RM0.12 semeter persegi, bagi kegunaan industri minyak dan gas pada kadar RM0.54 semeter persegi dan bagi lain-lain kegunaan tanah dari RM0.02 hingga RM0.08 semeter persegi.

Manakala bagi tanah pertanian berkeluasan melebihi 100 ekar (40.47 hektar) (Ladang Komersil), kadar cukai tanah baharu adalah RM30.00 sehektar serta kadar cukai RM25.00 sehektar adalah dikutip sebagai cukai tanah manakala RM5.00 sehektar dikutip oleh jabatan bagi Pihak Berkuasa Tempatan menggantikan levi perladangan.

Menurut JTS, cukai tanah baharu ini secara relatifnya adalah terendah berbanding dengan cukai tanah yang dikenakan oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Berdasarkan pewartaan pada 30 Jun 2022, kenyataan JTS mendedahkan hanya sebanyak 59,710 surat hakmilik tanah yang terlibat dengan semakan semula ini dan hanya lapan peratus daripada keseluruhan 734,388 surat hakmilik yang berdaftar di Sarawak.

Menurut kenyataan itu juga, secara amnya, pasaran hartanah telah merekodkan kenaikan nilai dari 75 hingga 200 peratus dari tahun 1994 sehingga 2022.

“Pembangunan intensif di kawasan bandar juga menghasilkan limpahan pembangunan ke kawasan sekitarnya.

“Limpahan ini telah mewajarkan kategori tanah di sesuatu kawasan dinaik tarafkan. Contohnya, Tanah Pinggir Bandar (Suburban Land) dinaiktaraf kepada Tanah Bandar (Town Land). Malahan ada juga Tanah Desa (Country Land) dinaiktaraf kepada Tanah Bandar (Town Land),” jelas JTS dalam kenyataan itu.

Bersesuaian dengan perkembangan ini, JTS melalui kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar telah membuat kajian dan perbandingan kadar cukai tanah yang dilaksanakan di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Difahamkan  kerajaan telah meluluskan semakan semula cukai tanah Sarawak pada 16 Jun 2022 selaras dengan hasil kajian tersebut serta peruntukan di bawah Seksyen 30(5) Kanun Tanah Negeri.

Untuk makluman, kenyataan turut memberitahu cukai tanah semasa telah digunapakai sejak tahun 1994 iaitu selama 28 tahun.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang Jabatan iaitu di https://landsurvey.sarawak.gov.my bermula pada 1 Januari 2023. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.