AirAsia tawar penerbangan tambahan istimewa sempena Tahun Baharu Cina

Spread the love

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Penerbangan tambang rendah AirAsia menawarkan penerbangan tambahan istimewa pada kadar tambang rendah tetap antara Semenanjung ke Sabah atau Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023 sempena sambutan Tahun baharu Cina 2023.

Menerusi kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199 sehala.

Pada masa yang sama, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249 sehala.

“Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama,” menurut AirAsia.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan berbesar hati kerana AirAsia terus komited untuk menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi.

“Walaupun mereka tidak dapat meningkatkan lebih kekerapan penerbangan kerana kekurangan pesawat seperti apa yang dialami oleh semua syarikat penerbangan, kami memuji kerja keras mereka untuk menambah penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap untuk menghubungkan keluarga, terutamanya dari dan ke Sabah dan Sarawak.

“Kami juga menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif sama atau lain yang dapat mengurangkan tambang penerbangan terutama semasa musim perayaan,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata sebagai syarikat penerbangan untuk semua, pihaknya melakukan yang terbaik untuk menghubungkan para tetamu pada tambang berpatutan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi.

“Beberapa tahun kebelakangan ini adalah amat sukar untuk semua dan walaupun industri perjalanan kini semakin pulih, kami tidak dapat menambah penerbangan seperti sedia kala berikutan kesan susulan pandemik,

“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang,” katanya.

Muat turun airasia Super App daripada Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery untuk menerima maklumat dan kemas kini mengenai penerbangan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.