KKM rangka pelan, perancangan atasi kesesakan di Jabatan Kecemasan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula merangka pelan dan perancangan bagi menyelesaikan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta sektor lain di kementerian itu dalam usaha memberikan perkhidmatan efisien.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kementerian juga sedang melihat kepada semua data terkini, audit dan penyelidikan berkaitan bebanan tugas serta isu kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara khususnya di hospital pakar bagi membolehkan punca dan masalah terkini dihadapi jabatan berkenaan dikenal pasti.

“Usaha untuk mengatasi isu ini perlulah melibatkan pelbagai pihak dan pemegang taruh. Contohnya, bagi mengetahui masalah dan keperluan khusus mengikut negeri masing-masing, KKM akan lakukan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan yang relevan antaranya pihak Jabatan Kecemasan sendiri, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan sektor swasta.

“Ini amat penting kerana pendekatan yang lebih holistik perlu diambil bagi menangani isu ini berdasarkan data dan maklumat yang lebih spesifik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata, KKM memandang serius masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital-hospital yang kini kembali selepas situasi COVID-19 dilihat kian reda, dengan pesakit bukan sahaja melibatkan kes COVID-19.

Beliau berkata, KKM secara konsisten berusaha mengatasi masalah kesesakan dengan mengadakan perbincangan dan memohon keperluan dana serta petugas tambahan bagi mengatasi masalah peruntukan, kekurangan petugas, peralatan dan infrastruktur.

“Dalam masa sama, pelbagai inisiatif juga telah dilaksanakan oleh KKM bagi meningkatkan kecekapan pengendalian pesakit,” katanya.

Beliau berkata, kesesakan di jabatan berkenaan telah dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara pada 2018 yang disiarkan pada 24 Jun 2019 menyatakan punca dikenal pasti menyumbang kepada kesesakan di jabatan itu adalah daripada peruntukan tidak mencukupi, kekurangan anggota kesihatan dan fasiliti bagi menampung keperluan perkhidmatan kepada para pesakit.

Situasi berkenaan bukan sahaja dihadapi di Jabatan Kecemasan dan Trauma tetapi turut berlaku di Klinik Pesakit Luar, Wad Pesakit Dalam dan juga di Klinik Kesihatan.

Dr Zaliha berkata, masalah berkenaan juga berlaku di negara lain dan menurut International Federation of Emergency Medicine (IFEM) melalui kenyataan (position statement), berdasarkan tinjauan ke atas 41 negara anggota IFEM pada November 2022, sebanyak 100 peratus daripada negara anggota telah melaporkan fenomena tersebut di jabatan kecemasan masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian juga akan melihat kepada potensi kerjasama strategik bersama sektor swasta termasuk Pengamal Perubatan Am (GP) bagi memperkasakan lagi penjagaan kesihatan primer.

“Dengan kerjasama tersebut, ia dilihat mampu mengurangkan kehadiran pesakit ke Jabatan Kecemasan dan Klinik Kesihatan. Suka juga untuk KKM ingatkan kepada semua pihak bahawa fungsi Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah untuk memberi rawatan kepada individu benar-benar memerlukan rawatan kecemasan.

“Justeru, KKM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk melipatgandakan lagi kempen kesedaran kepada masyarakat tentang fungsi sebenar Jabatan Kecemasan,” katanya.

Dr Zaliha berkata, segala pelan dan perancangan itu bukanlah untuk tindakan jangka pendek, sebaliknya perancangan jangka panjang selaras dengan perkara utama Kertas Putih KKM bertujuan untuk memperkasa dan mereformasikan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Saya secara peribadi mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus memberikan perkhidmatan terbaik. KKM sentiasa peka dengan masalah yang berlaku dan kami akan terus mencari jalan demi kebajikan dan kesihatan mental warga KKM,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.