Banjir: Satu pusat pemindahan sementara di Sebuyau dibuka petang Isnin

Spread the love

KUCHING, 26 Dis: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif setakat pukul 7 malam ini apabila satu lagi PPS baharu di Dewan Masyarakat Kampung Lutong, Sebuyau dibuka petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan, PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong dibuka Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sebuyau berikutan hujan berterusan dari Jumaat dan air pasang besar.

“Mangsa juga terputus hubungan untuk mendapatkan sumber makanan,” kata laporan yang diikemaskini pada pukul 7 malam.

PPS di Kampung Lutong yang dibuka pada 3:50 petang, menempatkan tujuh orang daripada tiga keluarga.

Dua lagi PPS masih aktif ialah Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi membabitkan 84 orang dan Dewan Kampung Koran Mawang (57) di Serian.

Dua PPS berkenaan dibuka bermula 23 Disember.

Sebanyak 18 PPS telah ditutup sejak banjir ekoran hujan lebat melanda beberapa kawasan pada 23 Disember.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara, melibatkan beberapa negeri hingga Khamis ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Amaran Kategori Ketiga melibatkan kejadian angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam (kmj), dengan ombak melebihi 4.5 meter, dikeluarkan di kawasan perairan Sabah Barat, Labuan, dan Sabah Timur.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi aktiviti perkapalan melibatkan kawasan perairan tenggara Reef North, Labuan, Timur Palawan dan Sulu, yang dijangka berlaku sehingga esok (27 Dis).

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Amaran Kategori Kedua melibatkan fenomena angin kencang berkelajuan 50 hingga 60kmj dengan ombak setinggi 4.5 meter, dikeluarkan di perairan Sarawak yang dijangka berlaku sehingga 29 Dis ini.

“Kawasan yang turut terlibat ialah perairan Condore, Bunguran Utara, Reef North, Reef South, Layang-layang dan Barat Palawan. Kejadian ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut MetMalaysia.

Bagi Amaran Kategori Pertama, angin kencang berkelajuan 40 hingga 50kmj dengan ketinggian ombak 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga Khamis ini.

Amaran itu turut melibatkan kawasan perairan Tioman dan Bunguran Selatan sekali gus, berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Kenyataan mengenai amaran itu dikeluarkan MetMalaysia pada 2 petang, hari ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.