Ibu tunggal didakwa menipu konsert Awie

Spread the love

AMPANG, 25 Dis: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas pertuduhan melakukan cubaan menipu rakan penyanyi dan pelakon Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, berhubung penganjuran konsert yang tidak wujud pada Oktober lalu.

Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba memperdaya penganjur acara, Murbarak Akhtar Mohd Aris, 52, dengan mendorongnya untuk membeli tiket konsert Unplugged Living Legend yang tidak wujud bagi menyerahkan wang untuk dimasukkan ke akaun Bank Islam milik tertuduh.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Seksyen 417 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara tidak boleh lebih daripada setengah daripada tempoh paling lama yang diperuntukkan bagi kesalahan itu, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff meminta pengurangan wang jaminan dalam rayuan kerana wanita itu tidak berkerja dan menanggung empat anak berusia antara lima hingga 24 tahun.

Selain itu, suami tertuduh sudah meninggal dunia pada 18 Januari lalu selain tertuduh mempunyai penyakit slip disc.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Februari depan.

Tertuduh kemudiannya membayar wang ikat jamin itu.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.