Bekalan ikan segar mencukupi – LKIM

Spread the love

JERTIH, 25 Dis: Bencana banjir yang melanda Terengganu minggu lepas tidak menjejaskan bekalan ikan segar khususnya di negeri itu, kata Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Yusoff Othman.

Beliau berkata pengurangan pendaratan ikan hanya berlaku di negeri-negeri pantai timur sahaja, manakala di pantai barat dapat mendaratkan ikan seperti biasa.

“Secara keseluruhan bekalan ikan tidak terjejas dan isu pengurangan pendaratan di pantai timur juga tidak signifikan sebab nelayan sekarang (pantai timur) boleh turun ke laut tidak macam dulu.

“Dulu tidak ada pemecah ombak tapi sekarang sudah ada (pemecah ombak) yang membolehkan nelayan pergi menangkap ikan,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada 46 nelayan daerah Besut yang terjejas banjir di Kompleks LKIM Besut, di sini hari ini.

Menurut beliau sekiranya berlaku juga masalah kekurangan ikan, LKIM akan mengeluarkan stok ikan segar beku (QFish) bagi menstabilkan bekalan protein tersebut.

Terdahulu, Yusoff turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500, Qfish dan beras di bawah program Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan LKIM kepada 36 nelayan di Chalet Nelayan Resort di daerah Setiu.

“Program ini adalah program yang dilaksanakan secara berterusan bagi memberi bantuan segera kepada nelayan yang terjejas dalam bencana alam atau kemalangan sekali gus meringankan beban mangsa dan keluarga.

“Pada tahun ini sahaja, LKIM telah menyalurkan bantuan melalui tabung berkenaan berjumlah RM1.1 juta kepada 1,337 penerima,” katanya.

Menurutnya LKIM juga mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana LKIM di peringkat negeri dan ibu pejabat untuk menyelaras persiapan bantuan kepada komuniti nelayan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.