77 kawasan hakisan tanah berisiko tinggi dikenal pasti di seluruh negeri – Uggah

Spread the love

KUCHING, 25 Dis: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mengenal pasti 77 kawasan yang berisiko tinggi mengalami hakisan tanah di seluruh negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perbincangan perlu dilaksanakan bagi mengkaji kawasan-kawasan tersebut sebelum melaksanakan tindakan awal di lokasi.

“Saya telah mengarahkan semua jurutera bahagian di Sarawak untuk menjalankan perbincangan dengan Bomba bagi mengenal pasti dan mengkaji kawasan berkenaan. Selepas itu kita akan menentukan sebarang langkah awalan yang akan diambil bagi membendung perkara yang tidak diingini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Krismas 2022 anjuran beliau di kediamannya hari ini.

Sekiranya kawasan-kawasan tersebut menunjukkan risiko hakisan, Uggah berkata amaran awal akan diberikan kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, menurut beliau lagi Jabatan Kerja Raya (JKR) kini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya jalan dan jambatan terputus susulan bencana banjir.

Katanya, perkara ini akan dititikberatkan berikutan terdapat banyak aduan yang diterima di media sosial terutamanya dari zon utara berkaitan jalan terputus semasa musim banjir.

“Kawasan Sarawak ada beberapa tempat apabila banjir jalan atau jambatan akan terputus, jadi pihak JKR sekarang dalam keadaan bersedia 24 jam, 7 hari seminggu bagi siap siaga untuk memulihkan jambatan yang runtuh,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah meyakini pihak berwajib akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sebarang infrastruktur yang telah rosak dibaik pulih secepat mungkin. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.