Tanah runtuh: Mayat terakhir ditemukan pada hari kesembilan SAR

Spread the love

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Penantian dan usaha pencarian mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali di sini, berakhir selepas mayat mangsa itu ditemukan petang tadi.

Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan, mayat terakhir atau mangsa ke-31 iaitu kanak-kanak lelaki dipercayai berusia lingkungan antara 7 hingga 12 tahun, ditemukan pasukan SAR pada jam 4.53 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mayat itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit, kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan sektor A (hill view) dengan kedudukan mangsa yang tertimbus pada kedalaman tanah 1.5 meter.

“Mayat ditemukan dalam sleeping bag dengan keadaan sempurna dan berpakaian, namun sudah mula mereput. Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Walaupun kesemua mayat mangsa ditemukan, beliau berkata operasi SAR yang sudah berlangsung selama sembilan hari itu, masih diteruskan bagi kerja pemeriksaan serta siasatan lanjut di tapak kejadian, dan keputusan untuk menamatkan SAR berkenaan akan dimaklumkan esok.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata, mangsa terakhir itu, ditemui hasil korekan secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair, yang dipercayai daripada mayat tersebut.

Dalam tragedi pada awal pagi 16 Disember lepas, seramai 92 mangsa yang terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mangsa. Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Kawasan SAR yang dibahagikan kepada tiga sektor pencarian iaitu sektor A, sektor B (farm view) dan sektor C (river side) itu, melibatkan kekuatan melebihi 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi serta khidmat unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat.

Operasi itu melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A, satu di sektor B dan 10 lagi di sektor C.

Operasi itu disifatkan mencabar kerana kedudukan runtuhan pada sudut 45 darjah dan luas, serta keadaan timbunan tahan yang tebal dan berlumpur, selain faktor cuaca tidak menentu menyaksikan operasi tersebut beberapa kali ditangguhkan atas faktor risiko keselamatan.

Operasi SAR itu turut menguji ketahanan mental dan fizikal semua petugas operasi dan tidak terkecuali beberapa ekor anjing K9, terpaksa direhatkan akibat keletihan melampau, malah awal hari ini, seorang anggota APM yang terlibat dalam operasi itu dikejarkan ke hospital selepas pengsan dipercayai akibat keletihan melampau dan dehidrasi.

Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan senarai identiti 30 individu terkorban dalam kejadian itu selepas proses mengenal pasti dilakukan menerusi kaedah padanan asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari, gigi dan pengecaman waris termasuk pada barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa.

Dalam pada itu, rata-rata rakyat Malaysia di media sosial menzahirkan kesyukuran selepas mayat mangsa terakhir berjaya ditemukan, selain merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota pasukan SAR yang bertungkus lumus melaksanakan operasi tersebut. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.