PMNS martabatkan sukan Muay Thai di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 24 Dis: Sukan Muay Thai yang tidak lagi asing dalam kalangan dewasa, remaja mahupun kanak-kanak menjadi platform mencungkil bakat anak-anak muda sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Presiden Persatuan Muay Thai Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim berkata, Kerajaan Sarawak juga amat menyokong penyertaan anak muda dalam pelbagai jenis sukan dalam usaha mengamalkan gaya hidup bersukan.

“Sukan ini mampu mencungkil bakat baru dan mengangkat martabat nama Sarawak. Pemimpin-pemimpin kita sentiasa menyokong anak-anak muda aktif dalam bidang sukan.Mereka mahu anak muda bersukan bagi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya kepada media semasa Majlis Penutupan Muay Thai Piala TYT 2022 semalam.

Tambahnya lagi, beliau ingin melihat bakat anak-anak Sarawak dalam sukan Muay Thai berjaya hingga ke peringkat dunia.

“Matlamat kita adalah untuk mencungkil bakat anak-anak Sarawak dalam sukan Muay Thai agar boleh pergi ke peringkat dunia atau mewakili Malaysia khasnya negeri Sarawak seperti yang berlaku sekarang ini di mana beberapa anak-anak Sarawak telah mewakili Malaysia di merata-rata dunia dan memperoleh kemenangan yang membanggakan,” katanya lagi.

Beliau juga menyambut baik inisiatif dilaksanakan oleh Persatuan Muay Thai peringkat daerah dengan menyumbang insentif kepada atlet-atlet mereka yang cemerlang khususnya semasa Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022 pada September yang lalu.

Atlet yang menerima insentif dalam majlis tersebut ialah Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, Elias Ghazali Zulfikar, Kabilan Jelevan Thigharajan, Mohamad Hasbullah Mood, Nur Arifah Mahsunah Baharom, Nur Afiqah Musfirah Baharom dan Nur Azirah Muhd Yudi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.