Kayu pallet jalin kolaborasi antara Sarawak, Jepun

Spread the love

KUCHING, 24 Dis: Sarawak memeterai satu perjanjian bersama negara Jepun untuk melaksanakan proses rundingan kontrak jangka panjang bagi membekalkan kayu pallet ke pasaran negara berkenaan.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Green Pellet (Sarawak) Sdn Bhd dan Kanematsu Corporation itu disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Tokyo, Jepun pada Jumaat.

Menurut satu kenyataan, inisiatif MoU tersebut bertujuan untuk melaksanakan sokongan terhadap Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) iaitu mengembangkan ekonomi menerusi ekonomi hijau.

“Antara inisiatif ekonomi hijau Sarawak adalah perdagangan karbon, pengeluaran hidrogen, penjanaan kuasa hidro dan pengeluaran pallet biojisim,” menurut kenyataan terbabit.

Sebagai rekod, Green Pellet (Sarawak) Sdn Bhd merupakan anak syarikat Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC) yang mengeluarkan kayu pallet mesra alam daripada sisa kayu dan balak dari hutan yang ditanam untuk menghasilkan pallet berkualiti tinggi dan menjadi bahan api industri.

Kayu pallet yang dikeluarkan juga merupakan selaras dengan inisiatif hijau STIDC yang membawa slogan – tiada apa yang patut dibazirkan.

Sementara Kanematsu Corporation pula merupakan syarikat yang terlibat dalam perniagaan perdagangan produk komersial, pengeluaran barang dagangan, pelaburan dan lain-lain.

Syarikat itu kini sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan kayu pallet secara jangka panjang dari Sarawak bagi  dibekalkan kepada pelanggan mereka di Jepun.

Terdahulu MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengurus Besar STIDC merangkap Pengerusi Green Pellet (Sarawak) Sdn Bhd, Datu Hashim Bojet, manakala Kanematsu Corporation diwakili oleh Koji Nozaki selaku Pengurus Besar untuk Bahagian Tenaga.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Malcolm Mussen Lamoh. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.