Hargai kepelbagaian budaya, agama di Malaysia asas kemakmuran – Fadillah

Spread the love

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Rakyat Malaysia diseru agar sentiasa menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya serta perbezaan agama sebagai satu keunikan yang merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Malaysia sangat istimewa dengan rakyatnya hidup aman harmoni dalam kepelbagaian budaya dan perbezaan agama.

“Jadikanlah sambutan perayaan Hari Natal ini sebagai asas untuk mengukuhkan iltizam dan perpaduan dalam kalangan kita. Jauhi sebarang pertelingkahan, eratkan persefahaman dan perpaduan.

Teruskanlah juga amalan saling hormat menghormati perayaan kaum-kaum lain serta tradisi kunjung mengunjung di musim perayaan ini, sebagai identiti masyarakat Malaysia yang unik lagi harmoni,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, sempena perayaan itu yang disambut esok.

Di samping meraikan perayaan dengan penuh kegembiraan, Fadillah turut mengingatkan kepada rakyat agar tidak melupakan saudara mara dan rakan-rakan yang ditimpa bencana, musibah banjir dan sebagainya.

“Moga dipermudahkan segala bantuan yang dihulurkan kepada semua mangsa dan moga kita semua sentiasa dalam perlindungan Yang Maha Esa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu turut menasihatkan perantau yang pulang ke kampung halaman sempena perayaan ini dan cuti hujung tahun agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi peraturan ditetapkan serta selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Penganut Kristian menyambut Hari Natal atau Krismas pada 25 Disember setiap tahun. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.