Sektor pelancongan kesihatan negara di landasan, bangkit pascapandemik

Spread the love

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Pemulihan sektor pelancongan kesihatan negara yang terkesan oleh pandemik COVID-19 kekal di landasan positif, dipacu oleh pelan pemulihan industri itu menuju 2023.

Bersandarkan pengalaman dan reputasi kukuh Malaysia sebagai destinasi yang selamat dan dipercayai dalam aspek penjagaan kesihatan sejak lebih 10 tahun lepas, segmen itu merekodkan sentimen memberangsangkan dengan kehadiran pelawat dari seluruh pelosok dunia.

Untuk fasa seterusnya,  segmen ini akan terus menumpukan pada khidmat rawatan seperti persenyawaan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, ortopedik, neurologi, pergigian, estetika dan saringan kesihatan umum, di samping mengetengahkan keseluruhan potensinya, merangkumi aspek rawatan pencegahan dan penjagaan kesihatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif, dalam tempoh pemulihan ini,  penekanan diberikan kepada ekosistem pelancongan kesihatan sebagai persediaan untuk industri pulih dan  seterusnya mara ke fasa pembinaan semula.

“Kita sekarang berada di kedudukan yang teguh untuk memulakan fasa seterusnya dalam Rangka Tindakan Industri Pelancongan Kesihatan Malaysia pada 2023, bagi membina semula industri sambil meningkatkan perkhidmatan kepada semua pelawat kesihatan.

“Berpandukan Rangka Tindakan Industri Pelancongan Kesihatan Malaysia 2021-2025, kami di landasan yang tepat untuk pertumbuhan industri yang berterusan dan mampan dengan memanfaatkan kekuatan kami dalam tiga tonggak.

“Tiga tonggak itu ialah Ekosistem Pelancongan Kesihatan yang menumpukan pada peningkatan kualiti perkhidmatan; Jenama Malaysia Healthcare bagi memperkukuh kesepaduan jenama merentasi titik pertemuan dan mengembangkan ekuiti jenama kami dalam pasaran teras, serta tonggak ketiga iaitu Pasaran, di mana kami mahu memperluas pasaran melangkaui pasaran primer dan meneroka lebih banyak pasaran khusus bagi memperkukuh jenama Malaysia Healthcare,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, MHTC akan bekerjasama dengan peserta industri domestik, serantau dan juga pihak berkepentingan global bagi melonjakkan lagi pertumbuhan industri.

Mengulas lanjut, beliau berkata semasa fasa pembinaan semula industri, segmen itu akan memberikan lebih banyak tumpuan kepada pencegahan dan pemulihan serta beberapa inisiatif penjenamaan khusus seperti kardiologi, onkologi, kesuburan dan rawatan pergigian selain produk kesejahteraan premium.

Pada masa ini, Malaysia tersenarai sebagai antara destinasi pelancongan kesihatan utama di Asia, bersama-sama India, Thailand, Singapura dan Korea Selatan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh sebelum ini dipetik berkata Malaysia antara yang terbaik di Asia Tenggara dari segi kos dan juga piawaian penjagaan kesihatan.

Mengulas perkara itu, Mohd Daud berkata sistem penjagaan kesihatan Malaysia diiktiraf antarabangsa dan meraih banyak anugerah selama ini seperti Destinasi Terbaik bagi 2015,2016, 2017 dan 2020 daripada International Medical Travel Journal (IMTJ), Anugerah Pelancongan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan Asia Pasifik (2016-2022); dan Asia’s Top Destination for Retirement Living daripada International Living (2015-2022).

Malah, MHTC juga pernah menggondol anugerah IMTJ Cluster of the Year bagi 2017, 2018, 2019 dan 2020.

“Semasa penularan pandemik, industri pelancongan kesihatan mencatatkan perubahan ketara dari segi pendapatan berbanding 2019 yang merekodkan perolehan  sekitar RM1.7 bilion.

“Pandemik menyebabkan industri mengalami kemerosotan, iaitu hanya meraih RM777 juta pada 2020 dan RM585 juta pada 2021.

“Akan tetapi, tindakan pantas industri membuahkan hasil memuaskan. Menerusi sokongan padu perkongsian awam dan swasta, kami memupuk ekosistem yang kukuh, sekali gus memperteguh kedudukan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang selamat dan dipercayai oleh pelawat ketika industri dalam fasa pemulihan daripada pandemik,” ujarnya.

Susulan pembukaan semula sempadan negara pada April tahun ini, sektor itu menyaksikan peningkatan jumlah kedatangan pelawat.

“Pada suku ketiga 2022, industri merekodkan pendapatan berjumlah RM726 juta, menghampiri sasaran kami untuk tahun ini iaitu RM1 bilion. Ini menunjukkan keyakinan pelawat kesihatan terhadap Malaysia selain mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan industri,” kata Mohd Daud.

Memanfaatkan permintaan terhadap rawatan khusus dan prestasi cemerlang segmen itu, MHTC menyasarkan untuk terus membangunkan produk sedia ada dan mempertingkat pengalaman pelawat melalui inisiatif penjenamaan khusus yang turut meliputi rawatan pencegahan dan kesejahteraan.

“Pada tahun-tahun belakangan ini, penduduk dunia semakin mengutamakan kesejahteraan fizikal dan mental mereka.

“Untuk itu, MHTC memperkenalkan program kesejahteraan premium, iaitu kerjasama meluas industri membabitkan hospital swasta, hotel dan syarikat pelancongan terbaik di negara ini dengan menggabungkan saringan kesihatan komprehensif, penginapan bertaraf dunia serta produk santai dalam satu pakej premium untuk pelancong kesihatan.

“Menerusi program ini, kami menyasarkan untuk memperkasa penduduk dunia dengan gaya hidup lebih sihat. Selain saringan kesihatan yang komprehensif, pelawat juga akan ditawarkan opsyen estetik pergigian, prosedur rawatan kosmetik dan saringan khusus serta rawatan untuk hepatitis C, kanser dan penyakit berkaitan jantung,” jelas beliau.

Katanya MHTC mengenal pasti Indonesia, China, Bangladesh dan Myanmar sebagai pasaran teras berdasarkan volum pelawat kesihatan serta potensi pertumbuhan pasaran terbabit.

Persatuan juga merancang untuk meningkatkan penembusan pasaran di negara berkenaan sambil memperhebat pemasaran negara di pasaran sekunder seperti Hong Kong, Kemboja, Vietnam, Singapura dan Australia.

“Pada masa ini, Indonesia antara pasaran utama MHTC dengan pelancong kesihatan dari Jakarta, Surabaya dan Medan merupakan majoriti pelawat yang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan di Malaysia sebagai pelengkap kepada perkhidmatan yang ditawarkan di negara asal mereka.

“Pulau Pinang dan Melaka adalah destinasi tumpuan pelawat dari Indonesia, menguasai 70 peratus daripada ketibaan keseluruhan,” tambah beliau.

Menurutnya, pada masa sama Malaysia akan terus menarik pelancong kesihatan dari negara-negara lain.

Pada dekad sebelum ini, Australia, Bangladesh, China, India, Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat adalah pasaran utama segmen pelancongan kesihatan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan MSU (MSUMC) Zahri Abd Ghani berkata perkembangan sektor pelancongan kesihatan pascapandemik memacu organisasi itu kembali aktif mencapai misi ‘Caring, Healing, Educating’ dengan menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti, mudah akses dan mampu milik, bersandarkan pelan pemulihan industri oleh MHTC.

MSUMC yang beroperasi secara rasmi pada Januari 2019, menawarkan khidmat rawatan antaranya pembedahan saraf, pembedahan plastik dan rekonstruktif, ortopedik, kardiologi, nefrologi, terapi oksigen hiperbarik dan oftalmologi.

“Secara amnya, segmen bagi pesakit luar negara di MSUMC merangkumi pemeriksaan kesihatan seperti pakej saringan otak dan tulang belakang, ortopedik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan awam, nefrologi, pembedahan saraf dan kardiologi.

“Kewujudan hospital seperti MSUMC membuka lebih banyak ruang kepada peningkatan jumlah pelancong kesihatan ke Malaysia. Selain menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif termasuk pelbagai rawatan bertaraf global dengan caj berpatutan dan selesa, kakitangan perubatan berkelayakan dan terlatih turut menjadi pilihan pelancong kesihatan,” katanya.

Antara kejayaan MSUMC yang diiktiraf di peringkat global ialah  pembedahan rekonstruktif seperti pembedahan bagi penyakit ‘kaki gajah’ (lymphoedema), kanser gusi, ‘acid burn’, omphalocele atau usus di luar dan  ketumbuhan kompleks kraniofasial.

MSUMC turut menerima akreditasi penuh bagi tempoh empat tahun daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) sebagai perakuan dalam mencapai dan memenuhi piawaian kualiti perkhidmatan serta keselamatan penjagaan kesihatan.

“Pengiktirafan sebagai destinasi pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan terbaik dunia kepada Malaysia secara umumnya menggambarkan prospek sektor ini akan terus berkembang dari masa ke masa,” katanya, menambah ia secara langsung akan meningkatkan permintaan terhadap modal insan mahir dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau menambah MSUMC secara proaktif bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri pelancongan kesihatan khususnya MHTC yang berperanan mempromosikan pelancongan kesihatan Malaysia kepada komuniti global melalui kerjasama pengamal media serantau dan antarabangsa.

Berpandangan tumpuan perlu terus diberikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, Akmal Adanan, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, berkata standard pengurusan pelancongan kesihatan perlu setanding piawaian antarabangsa bagi memberi keyakinan kepada pelancong.

Pemain industri perlu bersedia menawarkan pakej perkhidmatan yang fleksibel, berpatutan dan bervariasi di samping mengambil langkah proaktif menerima guna teknologi terkini, sebagai contoh mengadaptasi aplikasi ‘Machine Learning’ (ML) dan ‘kecerdasan buatan’ (AI) bagi pengurusan yang lebih optimum untuk kemudahan menganalisis data dan memenuhi kehendak pelanggan.

“Sistem ‘Chatbot’ yang terdapat dalam ML akan membolehkan penyedia perkhidmatan berinteraksi 24 jam dengan pelanggan secara dalam talian bagi menjawab pelbagai pertanyaan termasuk menyusun jadual rawatan yang lebih efektif.

“Pihak hospital dan penyedia perkhidmatan perlu memaksimumkan promosi perkhidmatan mereka khususnya di platform media sosial. Isi kandungan promosi perlu lebih kreatif  dengan memfokuskan ‘soft selling approach marketing’, antaranya dengan video pendek yang memberi maklumat serta tip kesihatan berguna sambil menguar-uarkan fasiliti, kepakaran doktor dan perkhidmatan istimewa yang ditawarkan,” katanya.

Koordinasi antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Kesihatan dan MHTC perlu dipertingkat bagi menjamin sektor pelancongan kesihatan yang berkualiti dan terus menarik lebih ramai pelanggan dari dalam dan luar negara.

Insentif kewangan bagi meningkatkan operasi dan kemampanan sektor pelancongan kesihatan seperti pemberian geran, subsidi, tajaan dan potongan atau pengecualian cukai boleh dipertimbang dalam menyokong pemulihan sektor ini di samping dasar, peraturan dan prosedur yang lebih mesra pelancong, seperti mempermudah proses visa.

Selain itu, penyediaan program pendidikan, latihan, kursus pembangunan profesional bagi pemain industri juga dapat membantu meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mereka.

“Secara umum, sektor pelancongan telah mengalami kemerosotan yang signifikan dalam aspek kedatangan pelancong dan pendapatan akibat pandemik COVID-19. Ini mungkin akan mengambil masa yang lama sebelum dapat kembali pulih ke tahap sebelum ini.

“Bagaimanapun, sektor pelancongan kesihatan dijangka terus berkembang dengan positif pada tahun depan kerana keperluan yang tinggi untuk perkhidmatan kesihatan yang berkualiti sentiasa ada daripada pelancong negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan juga China.

“Selain faktor destinasi pelancongan yang cantik dan menarik serta tenaga pakar, kos rawatan yang kompetitif turut menarik minat ramai pelancong kesihatan ke negara ini,” katanya, menambah kajian berterusan perlu dilakukan bagi melihat kecenderungan kumpulan itu memilih destinasi untuk mendapatkan rawatan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.