Pelancongan Sarawak dahagakan promosi secara berterusan – Tiong

Spread the love

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Jabatan Pelancongan Negeri Sarawak digesa untuk memikirkan langkah terbaik mempromosikan Sarawak di mata dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui bahawa negeri ini amat mendahagakan promosi secara berterusan dan efektif bagi menarik pelancong asing ke Sarawak.

Menurutnya langkah proaktif perlu diambil berikutan kebanyakan negara di seluruh dunia telahpun membuka pintu sempadan masing-masing seiring peralihan ke fasa pemulihan pasca pandemik.

“Ini kerana masih ramai masyarakat antarabangsa yang tidak mengenali Sarawak sebagai antara destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi di Malaysia kerana memiliki warisan dan keindahan alam semulajadinya,

“Begitu juga dengan negeri-negeri lain, yang memerlukan penglibatan serta peranan semua pihak,” katanya dalam satu  kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Tiong mahu MOTAC meningkatkan kerjasama strategik bersama rakan industri terutamanya dalam mempergiat usaha mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Tegas Tiong, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh harapan yang tinggi kepada MOTAC untuk membawa masuk pelancong asing dan seterusnya meningkatkan ekonomi rakyat dan negara.

“Saya turut mengingatkan bahawa YAB Perdana Menteri berharap kemasukan pelancong asing dapat ditingkatkan pada tahun hadapan, seterusnya membawa limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara serta perlu keluar dari zon selesa dan bertindak progresif,

“Dengan itu, matlamat berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu diwujudkan semula dan semua warga kementerian termasuk agensi-agensi di bawah MOTAC perlu komited untuk merealisasikannya,” katanya lagi.

Terdahulu beliau menyampaikan amanat sebelum mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bajet dan Hala Tuju Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) 2023.– TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.