Kastam buka 23 kertas siasatan jenayah seludup hidupan liar tahun ini

Spread the love

KUCHING, 8 Dis: Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah membuka 23 kertas siasatan dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 sepanjang tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah berkata, belum ada pendakwaan bagi kesemua kes yang membabitkan nilai rampasan bernilai hampir RM73.4 juta itu.

Daripada 23 kertas siasatan, sebanyak dua kes dikenakan kompaun berjumlah RM100,200.00.

“Sebahagian kes masih di peringkat untuk keizinan (maklum balas) daripada Timbalan Pendakwa Raya dan sebahagian lagi masih di peringkat siasatan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Ribuan berkata lagi, Kastam giat mengesan peningkatan kemasukan hidupan liar terancam dari luar negara ke Malaysia serta pergerakan antara wilayah di Malaysia iaitu dari atau ke Sabah dan Sarawak terutamanya di lapangan terbang sama ada menerusi kargo, bungkusan dan penumpang.

Menurutnya, Kastam pada tahun ini juga turut membuat 15 serahan kes kepada pihak berkuasa tempatan terutamanya yang melibatkan pergerakan hidupan liar tanpa kelulusan di antara wilayah bagi pergerakan dari Sabah dan Sarawak serta sebaliknya.

Kes-kes serahan ini melibatkan komoditi pelbagai spesies fauna yang masih hidup antaranya ular, biawak dan kura-kura.

“Pergerakan ini melibatkan pelbagai jenis fauna dan flora serta bahagian-bahagiannya khususnya bagi kura-kura, kulit rusa, pokok hiasan dan juga bulu burung merak tanpa permit atau kelulusan dari pihak berkuasa yang berkenaan untuk dijadikan haiwan peliharaan dan juga hiasan,” katanya.

Usaha Kastam dalam memerangi jenayah ini tidak sekadar melibatkan tindakan siasatan dan pendakwaan bahkan juga turut berkongsi maklumat berkaitan elemen atau indikator-indikator atau ‘red flags’ bagi kes-kes terdahulu kepada pentadbiran Kastam luar negara di pelbagai platform antarabangsa. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.