Bukan tonton Piala Dunia di Qatar, sebaliknya urusan rasmi di UAE – Tengku Zafrul

Spread the love

KUCHING, 6 Dis: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan ‘kehilangan’ beliau pada Mesyuarat Kabinet Pertama Kerajaan Perpaduan semalam ialah kerana terlibat dengan urusan rasmi kerajaan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tengku Zafrul berkata, beliau tidak menonton Piala Dunia di Doha, Qatar seperti dakwaan segelintir pihak.

“Baru sahaja angkat sumpah jadi menteri, terus keluar macam – macam fitnah dan fake news kononnya saya ponteng Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tengok World Cup di Qatar.

Baca artikel berkaitan >>>>> Agong zahir rasa sukacita kerjasama PETRONAS-ADNOC – Istana Negara

“Pertamanya, saya pergi Abu Dhabi, UAE bukan Doha, Qatar. Abu Dhabi tiada World Cup,”  katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadiri oleh semua menteri kabinet kecuali Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak hadir Mesyuarat Kabinet bukanlah perkara kecil seperti ponteng kelas.

“Saya pergi Abu Dhabi untuk urusan rasmi. Semua trip ke luar negara perlu mendapat kebenaran Perdana Menteri, jika tidak diluluskan, tidak boleh pergi,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, keberadaannya di negara itu juga diketahui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Selepas angkat sumpah Sabtu lepas, saya terus ke MITI untuk beritahu Ketua Setiausaha Kementerian tentang trip berkenaan, Ahad bertolak dan Isnin saksikan perjanjian berkenaan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, perjanjian rasmi berkenaan yang melibatkan PETRONAS Abu Dhabi Sdn. Bhd. dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) sangat bersejarah malah turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bagi pihak UAE, Presidennya, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE Dr Sultan Ahmed Al Jaber hadir,” katanya.

Beliau memberitahu, perjanjian berkenaan merupakan antara yang terbesar untuk Malaysia dan UAE bagi sektor minyak dan gas kerana melibatkan pelaburan bagi tempoh 30 tahun kedua – dua negara.

“Ini melibatkan kerjasama meneroka dan menilai kawasan konsesi 2,000 kilometer (km) persegi di Wilayah Al Dafra,” katanya.

Katanya, Malaysia amat berbangga dengan pencapaian PETRONAS di peringkat antarabangsa malah kerjasama berkenaan dijangka akan mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat milik negara itu.

“Ini juga akan mengukuhkan PETRONAS sebagai salah satu syarikat tenaga terkemuka di dunia dan bagi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan, sebelum pulang, beliau juga sempat melawat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Dubai yang sedang menyertai Ekspo Perdagangan The Big 5 International Building And Construction Show yang merupakan antara ekspo terbesar bagi sektor bahan binaan.

“Lima syarikat Malaysia turut sertai ekspo berkenaan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.