Tarik pelancong, sebuah Kampung Budaya dibina di Miri

Spread the love

MIRI, 5 Dis: Sebuah Kampung Budaya dibina di Bahagian Miri bagi membolehkan penggiat seni mempamerkan persembahan kebudayaan mereka kepada pelancong, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.

Beliau berkata, pembinaannya sedang dilaksanakan di sebelah Padang Kerbau berdekatan dengan Hospital Miri, ibu pejabat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM).

“Ini akan memberi ruang yang besar kepada penggiat seni membuat persembahan kebudayaan seperti Kelabit, Kayan, Kenyah, Lumbawang, Bisaya dan sebagainya, mereka akan diberi jadual persembahan yang akan menjadi tarikan kepada pelancong, malah pengunjung dikenakan bayaran untuk menyaksikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Pra Krismas dan Ulangtahun Ketiga Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Wanita Long Seridan Telang Usan Miri di sini, malam tadi.

Bangunan ibu pejabat FORUM yang juga sebagai Kampung Budaya Miri itu dijangka akan siap dalam masa setahun setengah pada penghujung tahun hadapan dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada awal tahun 2024.

Katanya, Kementerian Pelancongan Sarawak dan Kementerian Pelancongan Malaysia memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha membangunkan budaya masing-masing dengan memberi dana kepada persatuan etnik yang berdaftar.

“Memang kita menyokong usaha membangunkan budaya etnik-etnik yang ada di Sarawak. Itu sebabnya Kementerian Pelancongan Sarawak dan juga Kementerian Pelancongan Malaysia menawarkan dana untuk persatuan etnik-etnik yang berdaftar, menganjurkan festival atau pesta kebudayaan etnik masing-masing.

“Pada bulan ini Persatuan Berawan akan mengadakan festival mereka di Long Terawan hasil daripada suntikan dana daripada kerajaan,” ujarnya.

Pada masa yang sama Dennis turut mengumumkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mula membangunkan semula jambatan Sungai Tutoh dan dijangka akan siap paling lewat pada bulan Mac tahun hadapan.

Jambatan tersebut runtuh sebelum ini disebabkan oleh banjir dan hujan lebat, lantas menyukarkan pergerakan penduduk kampung sekitarnya seperti Kampung Long Seridan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.