Sarawak berhasrat capai tahap autonomi kesihatan selaras MA63

Spread the love

KUCHING, 5 Dis: Sarawak berhasrat untuk mencapai beberapa tahap autonomi dalam bidang kesihatan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, perkara berkenaan penting untuk direalisasikan bagi membangunkan penjagaan kesihatan di sini berdasarkan keperluan rakyat.

Kata Abang Johari, setakat ini Sarawak telah mencapai beberapa perkembangan memberangsangkan dalam sektor berkenaan.

“Sarawak kini mempunyai perkhidmatan penjagaan kesihatan profesional yang mencukupi untuk menguruskan sistem berkenaan.

“Menerusi autonomi kesihatan, kita boleh melonjakkan lagi kualiti penjagaan kesihatan di Sarawak supaya dapat melangkaui standard ditetapkan menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Emas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sarawak ke-50, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Sementara itu, ujar Abang Johari, Malaysia telah muncul sebagai hab industri pelancongan kesihatan yang berkembang pesat.

“Kos penjagaan kesihatan yang berpatutan dan berkualiti tinggi, ditambah faktor keindahan alam semula jadi di Sarawak telah meningkatkan pemulihan pesakit.

“Ini merupakan antara faktor yang menjadikan Sarawak lokasi pilihan untuk pelancongan perubatan,”katanya.

Perkara itu kata Abang Johari dapat dilihat menerusi kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang ditawarkan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri yang berjaya menarik pelancong dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.