Raja Permaisuri Agong berkenan kunjungi program ‘The Hearth Brought To Light: Food Over Fire Festival’

Spread the love

KUCHING, 5 Dis: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berkunjung ke majlis penutupan program ‘The Hearth Brought To Light: Food Over Fire Festival’ di Fort Magherita di sini, malam tadi.

Raja Permaisuri Agong tiba di Kuching bagi lawatan ke Sarawak pada Sabtu lalu disambut isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Program ‘The Hearth Brought To Light: Food Over Fire Festival’ melabuhkan tirainya setelah berlangsung selama 10 hari mulai 25 November hingga semalam, menghimpunkan artis persembahan, artisan dan tukang masak masakan heirloom yang ditunjukkan dalam cahaya yang berbeza.

Kehadiran Raja Permaisuri Agong memeriahkan suasana dan menjadi tumpuan penonton yang menghadiri ‘Theatre, Food Over Fire Festival’ yang terbahagi kepada dua acara iaitu ‘Theater Show’ dan ‘Food Over Fire Festival’.

‘Theatre Show’ merupakan teater yang memperlihatkan kesenian zaman dahulu mengenai sebuah keluarga yang berkumpul untuk menyanyi, menari, memasak dan berkongsi rutin semasa perayaan dan ritual yang bertujuan supaya masyarakat mengekalkan adat resam dalam kehidupan.

Tarian ritual, nyanyian dan pakaian tradisional yang digunakan semasa teater ingin disampaikan kepada masyarakat bahawa penggubalan legenda yang diturunkan melalui lisan kepada generasi muda telah kehilangan banyak keasliannya.

Selain itu, Raja Permaisuri Agong juga berkesempatan mencuba bermain alat muzik tradisional yang digunakan dalam teater tersebut.

Selepas itu, Raja Permaisuri Agong bertemu dengan Chef Achang Libat bagi acara ‘Food Over Fire Festival’ bagi penerangan 50 hidangan berbeza yang disediakan oleh 20 pakar dalam hidangan gril tradisional yang melambangkan Sarawak terdiri daripada kepelbagaian makanan yang menarik.

Antara pengisian program tersebut yang berlangsung selama 10 hari ialah ‘Theatre, Food Over Fire Festival’ yang diadakan di Fort Magherita, ‘Heirloom Showcase’ di Old Court House, dan ‘Culinary Heirloom Dinners’ di Hotel Telang Usang.

Program diakhiri dengan Raja Permaisuri Agong menikmati santapan makanan yang disediakan oleh pakar dalam hidangan gril tradisional bersama yang lain. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.