Bajet 2023 akan diteliti semula dengan mengambil kira pandangan MOF dan Kabinet – PM Anwar

Spread the love

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Bajet 2023 akan diteliti semula dan diubah suai dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kabinet kerajaan perpaduan yang baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau akan memberi ruang kepada Kementerian Kewangan serta jemaah menteri bagi menambah baik Bajet 2023 yang sedia ada.

“Saya fikir sebahagian besar (daripada belanjawan itu) boleh diterima walaupun ramai yang membuat andaian bahawa saya akan menentang semua cadangan tersebut.

“Cadangan yang baik kita boleh teruskan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Baca artikel berkaitan: Jemaah Menteri setuju potong gaji 20 peratus sebulan – PM Anwar

Pada masa yang sama, Anwar menegaskan bahawa beliau akan menumpukan usaha untuk menguruskan ekonomi negara dan membina keyakinan pelabur.

“Banyak syarikat pelaburan dari India, China, Eropah serta Amerika Syarikat telah meminta temu janji untuk minggu akan datang, dan saya akan menumpukan pada menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Terdahulu hari ini, Anwar telah mempengerusikan mesyuarat khas jemaah menteri yang pertama di Perdana Putra selepas pengumuman barisan Kabinet baharu yang dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri pada minggu lepas. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.