Sarawak luluskan RM100 juta untuk UNIFOR tahun depan – Douglas Uggah

Spread the love

MIRI, 4 Dis: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tahun depan, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, kelulusan berkenaan merupakan bukti bahawa kerajaan negeri yang ditadbir oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited kepada dasar keterangkuman serta memenuhi permintaan daripada unit berkenaan.

Peruntukan RM100 juta untuk UNIFOR pada tahun hadapan

“Peruntukan itu akan digunakan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat di seluruh negeri.

“Sarawak bertuah kerana terlindung daripada ancaman ekstremisme agama dan isu perpecahan.

“Pada malam ini, kita dapat menyaksikan komuniti Kristian boleh bersatu untuk kebaikan bersama,” katanya selepas menghadiri Perarakan Krismas ke-13 di Miri di sini malam tadi.

Tambah beliau, untuk hidup dalam sebuah masyarakat majmuk, toleransi antara kaum dan agama merupakan tunjang kepada keharmonian di sini.

“Di Sarawak, kita sentiasa mengukuhkan hubungan mesra dan saling menghormati. Komuniti Kristian juga telah berkembang dengan pesat menerusi pembinaan gereja baharu manakala gereja lama turut dibina semula dengan bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Perbandaran La Trinidad, Filipina, Romeo K. Salda yang hadir pada majlis perarakan berkenaan, berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana turut menjemput pihaknya.

Romeo berkata, beliau juga berhasrat untuk melakukan perkara yang sama di Filipina kerana perarakan yang berlangsung dapat menyatupadukan masyarakat Kristian.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.