Rawatan awal elak diri alami Sindrom COVID berpanjangan

Spread the love

MIRI, 4 Dis: Peningkatan trend kes COVID-19 dijangka akan berterusan sehingga tahun 2023 kerana virus ini telah melalui mutasi dari Alpha, Beta, Delta sehingga trend hari ini.

Meskipun pihak kesihatan dan perubatan bimbang terhadap jumlah kes yang diterima setiap hari, mereka kini tidak perlu lagi risau daripada aspek rawatan rapi kerana beban kesihatan rakyat masih di bawah kawalan lantas, masyarakat dapat mengadaptasi untuk hidup bersama COVID-19.

Pengarah Perubatan Borneo Medical Centre (BMC), Kenny Yeap meminta individu yang didiagnosis dengan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan awal bagi mengelak diri daripada mengalami Sindrom COVID Berpanjangan.

“Bila kita sudah didiagnosis dengan COVID-19, apa yang kita boleh buat ialah dapatkan rawatan awal supaya untuk langkah seterusnya, kita tidak mengalami kompilasi yang kita panggil Sindrom COVID Berpanjangan. COVID adalah sesuatu kita boleh kawal, tapi Sindrom COVID Berpanjangan adalah sesuatu majoriti pengamal perubatan dan kesihatan masih risau dan sedang diteliti,” katanya ketika ditemui TVS semalam.

Dikatakan antara simptom sindrom ini seperti badan menjadi lemah, stamina dan sistem pernafasan semakin kurang, batuk kering, suara yang seperti menghilang dan sebilangan kecil akan mempunyai kemurungan.

Terdapat 1-2 peratus pesakit yang dijangkiti virus ini dijangka mempunyai sindrom pasca COVID-19 ini, lantas pihak perubatan akan melihat dan memberi penekanan terhadap sindrom ini pada 2023-2024 kerana mereka tidak pasti sekiranya terdapat penyakit baharu yang akan keluar daripada sindrom ini.

Dr Yeap memberi saranan kepada orang ramai untuk dapatkan rawatan awal secepat mungkin sebagai langkah untuk mencegah penyebaran penyakit daripada berlaku.

“Untuk saranan awal memandangkan COVID sudah menjadi perkara umum, semua informasi mengenai pengelakan dari kawasan sesak, pemakaian pelitup muka, vaksinasi dan rawatan sudah ada, jadi ini bergantung kepada risiko peribadi. Tapi yang penting, dapatkan kit ujian kendiri COVID-19 untuk lakukan diagnosis awal dan seterusnya dapatkan rawatan secepat mungkin. Ini salah satu untuk elakkan penyebaran,” katanya lagi.

Sebelum ini Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, telah mendapatkan Paxlovid dan diberikan kepada kepada pusat kesihatan swasta secara percuma untuk diberikan kepada pesakit.

Dr. Yeap berpandangan ini sebagai langkah yang baik kerana ini dapat memastikan orang ramai mempunyai akses untuk mendapatkan ubat tersebut sekali gus dapat mengelakkan virus daripada tersebar. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.