Peranan Fadillah dan Alexander Nanta dalam Kabinet Persekutuan terus pacu Sarawak

Spread the love

KUCHING, 4 Dis: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin yang pelantikan Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam kabinet kerajaan perpaduan akan turut melonjakkan pembangunan di Sarawak.

Premier Sarawak itu berkata, selain diberi kepercayaan menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah turut mempunyai portfolio di Kementerian Perladangan dan Komoditi yang akan memacu sektor perladangan di Sarawak.

Pelantikan Menteri dari Sarawak melestari pembangunan

“Di sini terdapat banyak ladang kelapa sawit dan Sarawak berhasrat untuk menjadi pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia dalam masa dua tahun.

“Kita sebenarnya mempunyai komoditi baharu iaitu karbon dan hidrogen dan sudah pasti Kerajaan Persekutuan boleh membantu dalam aspek perniagaan antarabangsa karbon,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Badminton Piala Abang Jo 2022 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Fadillah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan lima menteri penuh dari Sarawak dalam kabinet kerajaan perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Selain itu turut dilantik ialah Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Menteri Perpaduan Negara.

Berkenaan pelantikan Alexander Nanta pula, Abang Johari berkata, beliau yakin Ahli Parlimen Kapit itu akan memainkan peranan dalam program pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar di Sarawak.

“Beliau yang mengambil alih Kementerian Kerja Raya pasti akan meningkatkan kemudahan infrastruktur di luar bandar,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang menunjukkan keprihatinan politik dan keperluan di seluruh negara. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.