Lima menteri penuh, perkukuhkan usaha pembangunan Sarawak – Rodiyah

Spread the love

KUCHING, 4 Dis: Lima Ahli Parlimen Sarawak dilantik sebagai menteri penuh di dalam kerajaan perpaduan merupakan usaha memperkukuhkan pembangunan Sarawak, kata Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

Menurut beliau pelantikan yang diketuai Dato Sri Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi akan mempercepatkan usaha tuntutan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Selain tuntutan hak Sarawak, barisan menteri yang lain seperti Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang menerajui Kementerian Kerja Raya akan menyaksikan pembangunan di luar bandar negeri ini lebih mampan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Seterusnya, kata Rodiyah, pelantikan Dato Sri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan), Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara); bersifat dekat dengan rakyat Sarawak.

“Pelantikan (mereka) masing-masingnya memegang portfolio bersifat memelihara kesejahteraan rakyat Sarawak,” ujarnya.

Rodiyah yakin barisan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat Persekutuan berada pada landasan yang tepat dalam usaha menggerakkan pembangunan Sarawak untuk bergelar negeri maju menjelang 2030.

“Pelantikan ini juga merupakan satu penghormatan bagi GPS dan negeri Sarawak yang kita cintai,” tegasnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.