Nancy Shukri berpengalaman luas dalam kabinet

Spread the love

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Pelantikan Dato Sri Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadikan Ahli Parlimen Santubong itu sebagai menteri Persekutuan wanita paling lama berkhidmat dari negeri Sarawak.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Dua TPM, 25 ahli Kabinet angkat sumpah jawatan menteri
  2. 2. Nancy mahu terus menyumbang pembangunan kepada masyarakat dan negara

Nancy, 61, yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan mula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Mei 2013 hingga April 2018 dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bermula Mac 2020 hingga November lepas.

Mengemudi kementerian itu ketika penularan COVID-19 di negara ini, beliau mengetengahkan pemikiran baharu dalam usaha membangunkan semula industri pelancongan yang terjejas ekoran impak daripada wabak berkenaan.

Naib Ketua 1 Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut menerajui pembangunan dan pelaksanaan Pelan Pelancongan Negara Malaysia 2020-2030 untuk memperkukuh industri pelancongan dan ekonomi Malaysia.

Beliau juga memperkenalkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DAKEN 2021) yang menjadi panduan dalam merancang pembangunan sektor seni, budaya dan warisan negara.

Sebelum itu, Nancy menjadi penasihat undang-undang Dewan Bandaraya Kuching Utara dari 1992 hingga 2003.

Beliau merupakan pemegang Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Hull, United Kingdom.

Bekas Ahli Parlimen Batang Sadong selama empat penggal bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada Mac 2008 itu menggantikan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengundur diri daripada bertanding pada PRU15 lepas di kerusi Parlimen Santubong.

Nancy berjaya mempertahankan kerusi tradisi PBB itu atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan majoriti 38,681 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Mohamad Zen Peli dan calon Bebas Affendi Jeman. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.