Pasukan BBP Sungai Merah memastikan tiada lagi punca api di sekeliling rumah setelah operasi pemadaman selesai. Foto: BBP Sungai Merah

Lelaki tidak waras jejaskan pihak Bomba bantu padam kebakaran di Sungai Bidut

ByTVS

SIBU, 3 Dis: Usaha pasukan Bomba untuk menjalankan operasi pemadaman sebuah rumah terjejas apabila mereka terpaksa berdepan dengan seorang lelaki dipercayai tidak waras dan agresif dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Kwong Tiong, Sungai Bidut di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Abdul Mutalif Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes ituĀ  jam 5.30 petang.

“Selain laluan sempit dan terpaksa mengangkat pam angkut sejauh satu kilometer melalui jambatan kayu usang, pasukan Bomba juga dihalang seorang lelaki tidak waras untuk memulakan operasi pemadaman di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi TVS.

Katanya, pasukan Bomba terpaksa menunggu kehadiran pihak polis untuk menenangkan lelaki tersebut sebelum operasi pemadaman dapat dijalankan.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran 100 kaki dan dua nozel pam angkut dari sumber air terbuka.

“Kebakaran itu melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan 30 X 30 kaki persegi telah terbakar 100 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, operasi pemadaman terkawal jam 6.30 petang dan setelah kebakaran padam sepenuhnya anggota berangkat balik ke balai.

Seramai lima orang anggota terlibat dalam operasi pemadaman yang ditamatkan pada 7 malam.

Punca kejadian belum dapat dipastikan dan kebakaran akan disiasat oleh Unit Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 4 Sibu. – TVS

Berita Berkaitan