Rakit kayu balak haram bernilai RM408,000 dipintas di perairan Pulau Dudong

Spread the love

SIBU, 2 Dis: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sibu berjaya memintas kegiatan memindahkan 160 batang kayu haram bernilai RM408,000 secara haram di perairan Pulau Dudong, dekat sini, pagi semalam (Khamis).

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya yang menjalankan rondaan ‘Op Pensura’ menggunakan Botronda PGR 8 telah menemui satu longgokan kayu balak yang telah dikat menjadi rakit di lokasi kejadian sekitar jam 9.00 pagi itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati longgokan kayu balak pelbagai jenis dan saiz berkenaan didapati tiada tanda tukul Jabatan Hutan Sarawak (JH),” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, pemindahan kayu balak menggunakan laluan sungai itu dipercayai dilakukan oleh sindiket curi balak sebagai modus operandi paling mudah untuk meneruskan kegiatan mereka.

Namun kekerapan rondaan yang dilakukan oleh pasukan polis menerusi operasi tersebut telah berjaya membongkar kegiatan haram tersebut.

Difahamkan, sindiket curi balak berkenaan dipercayai menjalankan operasi menunda kayu balak ke kilang kayu pada waktu malam bagi menggelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa.

Zulkipli berkata, kesemua barang rampasan tersebut diserahkan kepada Pegawai Perhutanan Bahagian Sibu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat dibawah Ordinan Perhutanan 2015,” tambah beliau. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.