Nanta komited bantu Kerajaan Perpaduan tempuhi cabaran

Spread the love

KUCHING, 2 Dis: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi dilantik sebagai Menteri Kerja Raya di dalam barisan Kabinet kerajaan perpaduan.

Pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya hari ini, diakui Ahli Parlimen Kapit itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang amat penting dalam membantu kerajaan perpaduan meneruskan usaha pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menjelang tahun 2023 yang dijangka amat mencabar.

“Saya juga menyedari, tanggungjawab ini datang dengan cabaran yang besar. Namun saya akan memberikan sepenuh komitmen dan usaha dalam memastikan kelancaran perancangan pentadbiran negara atas kapasiti saya di Kementerian ini.

“Saya juga memberi jaminan akan meneruskan polisi-polisi Kementerian terdahulu yang terbukti berkesan di samping menambah baik dasar-dasar Kementerian yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan akan terus menghormati peranan penjawat awam daripada semua lapisan Kementerian yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga kepada Kementerian Kerja Raya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa beliau adalah menteri untuk semua dan bukan hanya untuk rakyat Sarawak sahaja.

“Saya juga ingin menegaskan saya adalah ‘minister for all, not just for Sarawakians’. Maka dengan itu, saya akan memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil di bawah Kementerian ini akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Dengan pengumuman pembentukan Kabinet baharu di bawah Kerajaan Perpaduan ini juga, saya berharap setiap daripada kita dapat terus bergerak ke hadapan dan memberikan fokus dalam usaha memulihkan negara, terutamanya dari sudut ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Sebelum ini, Nanta merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.