Lelaki libas dua pekerja pasar raya ditahan

Spread the love

BINTULU, 2 Dis: Seorang lelaki yang cuba mencuri di sebuah pasar raya berjaya ditahan oleh dua pekerja pasar raya berkenaan apabila bertindak berani berhadapan dengan suspek bersenjatakan sebilah pisau, pada malam Rabu lalu.

DIfahamkan kejadian sekitar jam 8 malam itu, mendapati suspek yang berusia 40-an cuba melarikan diri telah dikepung di taman awam berhadapan pasar raya itu sebelum bertindak mengeluarkan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, satu pergelutan telah berlaku di antara mereka hingga mengakibatkan kedua-dua pekerja mengalami kecederaan akibat dilibas oleh suspek.

“Akibat pergelutan itu, dua pekerja pasar raya berkenaan mengalami kecederaan dalam usaha mereka menangkap suspek yang bersenjatakan sebilah pisau,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua pekerja pasar raya termasuk suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan kemudian dihantar ke Hospital Bintulu dengan Ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, suspek yang menginap di sebuah hotel bajet pasar lama Bintulu selepas keluar dari hospital kemudian ditangkap oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Bintulu.

Batholomew berkata, suspek telah direman selama empat hari dan semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan termasuk sembilan kesalahan jenayah dan satu kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah di daerah Sibu dan Kapit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan pisau,” katanya.

Beliau turut memberi amaran terhadap sebarang aktiviti jenayah dan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku jenayah bagi membendung aktiviti jenayah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam masyarakat di daerah Bintulu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.