Tunaikan MA63 dan IGC lebih utama berbanding jawatan TPM – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 1 Dis: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan usaha mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) adalah lebih penting berbanding jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Malah Premier Sarawak itu berkata, kerajaan negeri yang dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak mempunyai agenda tersembunyi untuk melobi jawatan TPM.

Namun kata Abang Johari yang juga Pengerusi GPS, sekiranya jawatan berkenaan diserahkan kepada wakil rakyatnya, perkara itu tidak menjadi masalah.

“Bahkan ini akan mengukuhkan kedudukan Sarawak untuk terus memperjuangkan hak dalam MA63 dan laporan IGC.

“Kita tidak pernah mendesak untuk apa-apa. Oleh sebab itu, jawatan TPM tidak menjadi keutamaan kerana kita tidak mempunyai agenda untuk mendapatkannya namun kalau orang beri, kita ambillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kelab Backbenchers GPS di sini malam ini.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Pengerusi Kelab Backbenchers GPS, Datuk Ibrahim Baki.

Berkongsi lanjut mengenai kesungguhan Sarawak dalam menuntut haknya, Abang Johari memaklumkan yang beliau juga telah menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kerajaan Persekutuan melunaskan perkara berkaitan MA63 dan IGC.

Ini kerana menurut beliau, sekiranya perjanjian itu dihormati, GPS akan dapat mentadbir Sarawak dengan lebih baik.

Sementara itu, beliau turut berkongsi faktor GPS bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan susulan wakil rakyatnya turut dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong ketika kemelut pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita dalam demokrasi Raja Berpelembagaan dan mesti melihat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Raja.

“Sebab itu pandangan kita diambil kira dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” tambahnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.